KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyifatkan kenyataan Timbalan Speaker berhubung hanya 80 Ahli Parlimen boleh masuk ke Dewan Rakyat pada 26 Julai ini sebagai sandiwara politik.
Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, syarat itu langsung tidak masuk akal dan jelas mempersendakan institusi Parlimen serta titah Yang di-Pertuan Agong.
Kata beliau, baginda bertitah menerusi kenyataan Istana Negara baru-baru ini supaya Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibahas.
Namun, tidak disenaraikan dan tidak akan dibentang serta dibahas dengan secukupnya masa, selain Parlimen hanya bersidang empat hari, bukan lima hari.
“Malah, sidang itu ditukar kepada taklimat semata-mata dan lebih teruk lagi bukan semua Ahli Dewan Rakyat dibenarkan masuk walaupun rata-rata telah menerima dua dos suntikan vaksin.
“Cukup-cukuplah main wayang dan hina Ahli-ahli Parlimen yang berintegriti untuk menjalankan tugas mereka di dalam sidang Parlimen.
“Janganlah tunjuk contoh tidak baik kepada rakyat dan memalukan nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa. Sudah cukup negara kita diejek, dicemuh dan dipersendakan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau menjelaskan, memperbodohkan rakyat dengan kuasa menentu sebagai kerajaan adalah tindakan melampau, malah rakyat makin meluat dengan sandiwara politik yang tidak berpenghujung ini.
Dewan Rakyat katanya, wajib membincangkan perbelanjaan RM600 bilion yang telah dibelanja sepanjang tempoh darurat dikuatkuasa sejak enam bulan lalu.
“Bahkan, banyak khabar angin yang tidak baik dengan ketirisan dana digunakan tidak selari dengan kos sepatutnya dibelanjakan oleh kerajaan. Jadi, penjelasan sahaja tidak cukup, perbahasan penuh terhadap perkara ini amat penting.
“Bersidang sahaja untuk bagi taklimat adalah karut. Parlimen bukan masjid tempat mendengar khutbah Jumaat. Ianya mesti disusuli dengan perbahasan untuk semak dan imbang.
“Jika tunggu sidang Parlimen hujung September atau Oktober ini sudah terlewat kerana darurat tamat 1 Ogos ini dan ini menguatkan lagi teki teki rakyat yang percaya ada sesuatu mahu disembunyikan,” katanya.
Jelas Nasrul Ali, jika itu tahap pemikiran pemimpin kerajaan, jelaslah negara sedang ditipu bulat-bulat untuk menghalalkan segala tindak-tanduk mereka yang berkuasa.
Mereka, katanya, tidak ikhlas untuk menjaga nama baik Malaysia dan Institusi Raja-Raja Melayu, malah terus menerus mencemar serta menghina reputasi baik negara dengan bertopengkan perlembagaan dan undang-undang semata-mata.
“Alang-alang benarkan 80 orang masuk Parlimen, kenapa tidak beri kebenaran kepada 40 orang seperti dalam filem Ali Baba Bujang Lapok?
“Justeru, Wira Putra mencadangkan Ahli-ahli Parlimen yang berintegriti dan menjunjung Keluhuran Perlembagaan sesuai dengan ikrar angkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat/Negara boikot sahaja sidang Parlimen kali ini.
“Ini bagi menunjukkan hilangnya kepercayaan mereka terhadap kepimpinan dan urus tadbir Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya. – MalaysiaGazette