IGP Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani EMCO vaccination
Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Pasukan petugas Sekatan Jalan Raya (SJR) di sempadan negeri diarahkan tidak menerima dokumen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai kelulusan pergerakan yang sah bagi tempoh empat hari sehingga 21 Julai ini.

Langkah drastik itu bertujuan mengelak mana-mana individu menyalahgunakan surat kebenaran merentas negeri MITI itu untuk balik kampung menyambut Aidiladha.

Tindakan tegas itu dikeluarkan Polis Diraja Malaysia selepas mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya untuk tempoh dua hari terakhir ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, larangan pergerakan merentas negeri dengan menggunakan kelulusan MITI bagi tempoh 18 hingga 21 Julai 2021 berkuatkuasa serta merta.

“PDRM telah mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya untuk tempoh dua hari kebelakangan ini.

“Justeru itu, bagi mengelakkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab daripada menyalahgunakan surat kebenaran MITI sebagai kelulusan merentas negeri untuk sambutan hari raya aidiladha, semua SJR sempadan-sempadan negeri telah diarah agar meningkatkan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya, larangan itu bagaimanapun tidak terpakai bagi urusan-urusan kecemasan dengan kebenaran polis serta urusan kesihatan (termasuk vaksinasi).

“Mana-mana pihak yang didapati melanggar larangan ini akan diambil tindakan tegas tanpa kompromi dan masyarakat dinasihat untuk bersama memainkan peranan dalam melandaikan lengkuk jangkitan wabak Covid-19,” tegasnya.-MalaysiaGazette