3R DAP Ir. Khairil Nizam Khirudin paranoia Rafizi peruntukan pembangkang
Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan kawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) tidak semestinya perlu meletakkan Tabung Haji (TH) di bawah Kementerian Kewangan (MOF) mahupun Bank Pusat berkenaan.

Ia sama seperti model Bank Rakyat yang kekal di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sekalipun diletakkan di bawah kawal selia BNM, kata Ketua Pemuda Pas, Senator Ir. Khairil Nizam Khirudin.

Menurutnya, Pemuda Pas menegaskan TH harus kekal berdiri sendiri dengan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) walaupun dikawal selia oleh BNM.

“Pemuda Pas turut menggesa supaya pelaksanaan ini tidak memberi kesan kepada jaminan pemberian hibah kepada pendeposit, bagi menjana ekonomi umat Islam.

“Institusi TH harus kekal diurus tadbir dengan baik, beramanah dan berintegriti bagi memastikan ia dapat melaksanakan fungsinya dengan baik.

“Penubuhannya yang suci, serta tanggungjawab yang dipikul TH bagi menguruskan wang simpanan bakal-bakal jamaah haji serta umat Islam di Malaysia, memerlukan ia diuruskan dengan betul.

“Pemusatan kuasa di bawah sesetengah individu atau pihak tertentu, tanpa sebarang kawal selia dan pemantauan, akan membuka kepada penyelewengan yang bakal merosakkan dan merugikan TH, kerana ‘absolute power corrupts absolutely’,” katanya menerusi kenyatan hari ini.

Justeru kata beliau, TH harus dikawal selia dan diuruskan dengan baik tanpa campur tangan politik yang bakal merosakkan institusi kewangan Islam terbesar itu.

Khairil Nizam berkata, sebelum ini, beberapa institusi kewangan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) turut diletakkan di bawah kawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Kawal selia dari badan pengawal seliaan tadbir urus yang berkepakaran akan memberi kuasa kepada badan tersebut membuat audit ke atas operasi institusi kewangan tersebut, sebagaimana BNM melaksanakan audit ke atas semua bank-bank komersial yang lain, katanya.

Jelas beliau, ianya akan dapat membantu mengatasi isu penyelewengan dan salah guna kuasa serta membuka ruang kepada penambahbaikan berterusan bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan dan operasi TH.

Ini juga katanya, bagi memastikan TH tidak menjadi lubuk kaut untung atau buat duit bagi sesetengah ahli politik, seperti yang berlaku sebelum ini.

“Pemuda Pas menyambut baik kenyataan dari TH, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta Kementerian Kewangan (MOF) bagi menjawab kekeliruan berkenaan model baharu operasi TH ini.

“Penegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bahawa TH akan kekal di bawah kuasa beliau melegakan seluruh umat Islam. YB menteri bertanggungjawab untuk memastikan hak umat Islam serta hak 8.3 juta pendeposit yang juga bakal jamaah haji kekal terpelihara,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast