Angka korban akibat Covid-19 bertambah setiap hari. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Angka korban akibat Covid-19 bertambah lagi hari ini dengan mencatatkan sebanyak 129 kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif yang meninggal dunia kini cecah 7, 148 kes.

Katanya, jumlah yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) turut tinggi dengan 915 kes manakala 435 memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula 128,997 kes atau 13.91 peratus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes sembuh baharu pula mencecah jumlah 6,439 menjadikan keseluruhan yang pulih daripada Covid-19 iaitu 791,388.

Terdahulu hari ini, Dr. Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 10,972 kes positif Covid-19 baharu dilaporkan setakat tengah hari ini.

Pertambahan itu katanya menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 kini mencecah 927,533 kes.

Selangor masih mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi dengan 4,404 kes direkodkan hari ini. – MalaysiaGazette