Wee Ka Siong.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan sedang dalam usaha mendapatkan kelulusan bagi pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) sektor pengangkutan baharu secara bersasar di negeri Johor, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu, Perak dan Selangor.

Selain itu, ia juga mengemukakan permohonan tambahan di Pelabuhan Klang yang menjurus kepada pelaut, pekerja pelabuhan dan pekerja sektor logistik di kawasan sekitar.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, inisiatif itu dijangka memanfaatkan lebih daripada 54,000 pekerja sektor pengangkutan.

Menurutnya, sehingga 17 Julai 2021, terdapat dua PPVIN bagi sektor pengangkutan yang telah beroperasi meliputi sektor pengangkutan maritim dan udara yang telah melibatkan seramai 32,243 orang penerima vaksin keseluruhannya.

Pihak Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) telah meluluskan dua lagi PPVIN bagi sektor pengangkutan darat yang akan dikelolakan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang merupakan pemilik aset dan operator LRT, KL Monorel dan juga perkhidmatan Rapid Bus.

Dua aset Prasarana iaitu Stesen LRT Putra Heights dan Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan akan dijadikan fasiliti PPVIN sebagai menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

PPVIN di Stesen LRT Putra Heights, yang merupakan stesen integrasi Laluan LRT Kelana Jaya dan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, mula dibuka pada 19 Julai 2021 manakala PPVIN di Kompleks Rapid Bus Sdn Bhd di Cheras akan mula beroperasi mulai 21 Julai 2021.

Bilangan penerima vaksin yang terlibat di PPVIN Putra Heights adalah seramai 2,598 orang, merangkumi kakitangan Prasarana khususnya daripada perkhidmatan rel dan juga kakitangan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp).

Bilangan penerima vaksin yang terlibat di Kompleks Rapid Bas Cheras Selatan pula seramai 2,914 orang yang kebanyakannya terdiri daripada kakitangan operasi perkhidmatan bas.

Kata beliau, selain daripada menyediakan pusat PPVIN, pihak Prasarana juga turut menyediakan kakitangannya sendiri untuk bertugas sebagai sukarelawan di kedua-dua pusat berkenaan bagi membantu kerja-kerja kawalan pergerakan penerima vaksin, logistik dan pendaftaran.

Pembukaan PPVIN ini merupakan salah satu usaha kerajaan untuk memperluaskan pemberian vaksin kepada sektor pengangkutan yang dikategorikan antara salah satu perkhidmatan perlu bagi memastikan pergerakan barangan dan penumpang tidak terjejas dan dalam masa yang sama demi memastikan kelangsungan hidup rakyat.

Dalam pada itu, kementerian tersebut telah mengemukakan sebanyak 48,973 senarai nama daripada kategori pemandu teksi / e hailing dan 69,458 penunggang p-hailing bagi tujuan keutamaan vaksinasi.

Berdasarkan kepada data yang diterima setakat 17 Julai 2021, sebanyak 56% pemandu teksi/e-hailing telah menerima vaksin/temujanji mereka, manakala penunggang p-hailing sebanyak 49%. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast