ACP Mohd Zaid Hassan decayed body Jalan Broga drain
Mohd Zaid Hassan

KAJANG – Malang tidak berbau!

Seorang kanak-kanak berusia setahun kini dalam keadaan kritikal selepas dikatakan merangkak keluar melalui pintu utama kediamannya sebelum terjatuh dalam kolam di Bandar Tasik Kesuma, Beranang baru-baru ini.

Insiden menyayat hati itu disedari ibunya selepas mendapati anaknya tiada di dalam rumah sebelum menemuinya dalam keadaan separuh tenggelam di dalam kolam buatan sendiri di kawasan rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada doktor bertugas di Hospital Kajang berhubung insiden itu pada 15 Julai lalu sekitar pukul 9.11 pagi.

Katanya, doktor itu mendakwa telah menerima rawatan seorang  kanak-kanak lelaki dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri disyaki lemas dalam kolam.

“Mangsa telah dipindahkan ke Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur (PICU Pediatrik Kanak-Kanak) kerana keadaannya kritikal dan memerlukan rawatan rapi.

“Tempat kejadian ialah rumah ibu bapa mangsa dan didiami oleh datuk dan juga neneknya yang mana ketika kejadian bapa mangsa sedang tidur di dalam bilik manakala ibu dan nenek mangsa sedang memasak di dapur manakala mangsa sedang tidur di ruang tamu.

“Selepas selesai memasak, ibu mangsa menyedari ketiadaan mangsa dan mencarinya sekitar rumah dan menjumpai mangsa dalam keadaan separuh tenggelam di kolam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Zaid, mangsa kemudian dikejarkan ke poliklinik berhampiran sebelum dibawa ke Hospital Kajang.

Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai merangkak keluar ke halaman rumah melalui pintu gril utama yang tidak berkunci sebelum terjatuh ke dalam kolam tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak kanak 2001 dan Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20, 000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

MalaysiaGazette dimaklumkan setakat ini, seramai 10 orang  termasuk ibu bapa, nenek serta doktor perubatan telah selesai dirakam keterangan untuk membantu siasatan.

Manakala sumber juga memberitahu, keadaan kanak-kanak itu kritikal dan sedang diletakkan di bawah bantuan mesin pernafasan selain dipantau rapi.- MalaysiaGazette