Gao Fu

BEIJING – Orang kuat Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China mengakui beliau telah mengambil tiga suntikan vaksin Covid-19.

Ketika ini, perdebatan mengenai sama ada seseorang itu perlu mengambil dos tambahan untuk meningkatkan imuniti dan melindungi diri daripada varian baharu masih hangat dibincangkan di seluruh dunia.

Ketua Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, Gao Fu memberitahu majalah milik kerajaan, Global People yang beliau menerima dos-dos vaksin yang berlainan.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan lebih lanjut jenis-jenis vaksin Covid-19 yang telah diambilnya.

“Saya merupakan antara yang terawal mengambil vaksin yang dibangunkan di negara ini apabila mendapat suntikan imuniti pada Mei tahun lepas.

“Sekarang saya sudah menerima tiga dos vaksin yang menggunakan teknologi berbeza dan datang daripada pengeluar yang berlainan. Saya masih belum merasai apa-apa kesan yang negatif setakat ini,” katanya.

Laporan itu bagaimanapun tidak menyebut bilakah Gao menerima dos ketiganya dan ianya juga tidak menyatakan apakah tindakan itu adalah sebahagian daripada kajian.

Gao merupakan pakar perubatan awam pertama di China yang menggesa supaya kajian dijalankan terhadap campuran vaksin berlainan dalam usaha untuk menyelesaikan isu vaksin yang tidak mempunyai kadar pelindungan tinggi.

Kenyataan itu dibuat pada April lalu dan dilihat sebagai pengakuan terbuka terhadap kadar keberkesanan rendah vaksin-vaksin keluaran China.

Beliau kemudiannya membuat penjelasan mengatakan kenyataan tersebut adalah satu komen umum terhadap vaksin-vaksin Covid-19 di dunia.

Beliau juga menyebut terdapat kebarangkalian pertukaran interval dos dan pencampuran teknologi mampu merangsang imuniti dengan lebih baik.- MalaysiaGazette