Pegawai Daerah Sepang Mohamad Zain A. Hamid bersama penolongnya meninjau program vaksinasi di PPV Mega Movenpick KLIA hari ini.

SEPANG – Suasana proses vaksinasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Movenpick KLIA pada hari ini ceria dengan penampilan para petugasnya berbaju tradisional sempena Hari Raya Aidiladha.

Malah Pegawai Daerah Sepang, Mohamad Zain A. Hamid yang turun memantau proses pemberian vaksinasi di PPV berkenaan juga segak berbaju Melayu berwarna emerald green dan bersongkok.

Ia sekaligus ‘menghidupkan’ keceriaan sambutan Aidiladha dalam suasana norma baharu Covid-19 di PPV berkenaan.

MalaysiaGazette sempat meninjau penampilan beberapa pemberi suntikan vaksin yang rata-rata memakai baju Melayu dan baju kurung.

Vaksinator yang berbaju Melayu menunjukkan dan menerangkan jenis dos vaksin yang akan disuntik kepada penerimanya semasa tinjauan oleh Pegawai Daerah Sepang, Mohamad Zain A.Hamid di PPV Mega Movenpick KLIA Sepang, Selangor hari ini.

Selain mahu memeriahkan suasana sempena hari raya, para petugas mahu memastikan para penerima vaksin dalam keadaan tenang dan berkongsi kegembiraan semasa proses imunisasi termasuk ‘menghiburkan’ hati sendiri kerana bertugas pada hari lebaran.

Malahan, Pengurus PPV berkenaan Dr. Noraziah Abdul Karim menguruskan pemberian vaksinasi di Mega Movenpick selain memerhatikan kelancaran serta bekalan vaksinasi harian turut berbaju kurung.

Malah ada  juga penerima vaksin yang turut berbaju raya sebagai memeriahkan suasana pagi di PPV Mega Movenpick KLIA ini.

Mohamad Zain berkata, pusat PPV di Sepang terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori kesihatan membabitkan empat PPV iaitu Bandar Baru Salak Tinggi, Hospital Pengajar UPM, Movenpick dan Universiti Multimedia manakala PPV Industri dibuka di Terminal KLIA dan Hartalega.

Lima PPV melaksanakan proses vaksinasi manakala PPV Hartalega akan memulakan vaksinasi mulai esok membabitkan pekerja industri.

“Sehingga semalam, jumlah penerima dos lengkap setakat ini yang dikumpulkan adalah seramai 188,618 orang di PPV di Sepang.

“Manakala, sehingga 19 Julai 2021, 99 peratus penduduk dewasa sudah menerima janji temu di MySejahtera untuk program vaksinasi di daerah ini,” katanya.

Tambah beliau , PPV berkenaan melibatkan seramai 300 petugas termasuk sukarelawan yang melaksanakan program pemberian suntikan vaksinasi.

Menurutnya, jumlah kehadiran dan pencapaian penduduk untuk vaksinasi setiap hari iaitu 5,000 sehari adalah membangggakan namun beranggapan masih ramai lagi penduduk sekitar Sepang tidak berdaftar dengan MySejahtera.

“Saya berharap mereka segera berdaftar untuk vaksinasi sekaligus mempertingkatkan kadar vaksinasi harian di PPV di Sepang.

“Walaupun ada trend kesedaran dalam kalangan penduduk mengenai vaksin, masih ada segelintir yang tertunggu-tunggu mungkin disebabkan masalah tak dapat temujanji  tetapi Insya-Allah kita berkerjasama dengan pihak CITF Pusat dan negeri bagi mempercepatkan proses temujanji dan mendaftar dalam MySejahtera.

“Kita di PPV Mega Movenpick KLIA dan MMU sudah bersedia menerima peningkatan penerima vaksin apabila pemberian dos kedua bermula nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu,  Dr. Noraziah pula berkata, setakat semalam, sebanyak 69,798 dos pertama vaksin jenis Sinovac telah diberikan kepada penerima dan kapasiti pemberian suntikan vaksin telah ditingkatkan menjadi 5,000 dos setiap hari.

Malah, katanya, PPV berkenaan beroperasi sejak 5 Julai lalu dan telah mula menerima kehadiran terus (walk- in) dalam kalangan warga emas yang tidak berdaftar sepeti yang diberi kelonggaran oleh kerajaan baru-baru ini.

“Justeru dos kedua suntikan vaksin akan mula diberikan mulai 26 Julai ini dan kita sudah bersiap sedia untuk melaksanakannya,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast