Lembaga Tabung Haji TH deposits
Lembaga Tabung Haji (TH) terus mencatatkan rekod tertinggi dengan jumlah deposit mencecah RM88 bilion setakat Mei 2022.

KUALA LUMPUR – Salah tanggapan didapati menjadi punca kebimbangan orang ramai terhadap langkah kerajaan untuk meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia (BNM).

Sedangkan cadangan tersebut bukannya melibatkan pengambilalihan TH oleh Bank Pusat tetapi hanya meletakkan lembaga itu di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Bekas peneraju institut penyelidikan ekonomi di sebuah syarikat pelaburan milik kerajaan berkata, usaha yang dilakukan ini bukan sesuatu yang baharu.

Ini kerana terdapat enama institusi pembangunan kewangan (DFI) lain telah diletakkan di bawah BNM bagi tujuan pengawasan dan penyeliaan.

Enam DFI itu ialah Bank Pembangunan Malaysia Berhad, SME Bank, Exim Bank, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat), Bank Simpanan Nasional dan Agrobank.

Beliau berpandangan jika TH diletakkan di bawah BNM, TH hanya perlu mematuhi standard dan piawaian kewangan seperti bank-bank dari segi modal, pelaburan, solvensi dan lain-lain.

Artikel berkaitan:Wujudkan jawatankuasa Parlimen pantau TH

Apa jaminan tiada campur tangan politik selepas TH dikawal BNM?

Gantung segera keputusan tetapkan TH bawah APKI

Tidak perlu letak TH bawah BNM atau MOF – Pemuda Pas

Penambahbaikan operasi TH penting bagi lindungi pendeposit, kestabilan sistem kewangan negara

Kajian semula model operasi untuk tambah baik tadbir urus TH – Tengku Zafrul

Bagaimanapun, perkara-perkara membabitkan ibadah haji masih di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri.

“Sama seperti beberapa agensi di bawah pemantauan BNM tapi dari segi laporan masih kepada kementerian masing-masing,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pandangan beliau ini mengambil kira kawalan seiia dan amalan-amalan perbankan yang perlu dipatuhi TH.

Beliau turut mengimbau semula isu surat BNM kepada TH yang memberi amaran berhubung rizab TH yang mencecah angka negatif pada Januari 2016.

Disebabkan isu surat itu, berlaku risiko sistemik pada institusi lain hingga kesannya bukan sahaja kepada pendeposit TH tetapi semua pemegang kepentingan TH termasuk pelaburan dan lain-lain.

“Akibat daripada itu, BNM telah mengeluarkan kenyataan bahawa surat dikeluarkan bagi melaksanakan mandatnya untuk menggalakkan kestabilan kewangan, BNM menjalankan pemantauan terhadap institusi-institusi kewangan bukan bank utama yang mempunyai kesalinghubungan yang penting dengan sistem kewangan,” ulas beliau.

Sumber itu menjelaskan meskipun TH bukan merupakan institusi di bawah pemantauan langsung BNM, nasihat yang diberikan oleh Bank Pusat itu kepada institusi-institusi kewangan bukan bank bertujuan untuk memastikan institusi-institusi tersebut akan terus diurus dengan baik dan dapat memainkan peranan mereka dengan berkesan selaras dengan tujuan penubuhan institusi berkenaan.

“Bank Islam yang dimiliki oleh TH dan Bank Muamalat pun berada di bawah BNM, jadi apa bezanya?.

“Enam DFI yang telah lama diletakkan di bawah BNM pun tiada siapa yang bising-bising.

“Salah satunya Bank Rakyat, tapi ahli-ahli koperasi tak pulak kecoh-kecoh,” jelas beliau lagi.

Beliau antara kumpulan pengasas dalam penggubalan undang-undang insurans BNM suatu ketika dulu tidak terkejut dengan penolakan orang ramai atau pihak-pihak yang tidak memahami tujuan baik TH diletakkan di bawah BNM.

Namun beliau percaya langkah ini akan menjadikan kedudukan TH lebih baik dalam jangka panjang jika ia dilaksanakan dengan penuh integriti.

“Siapa ingat dulu industri insurans juga diletakkan di bawah Kementerian Kewangan tetapi ‘hancur’.

“Namun selepas dipindahkan di bawah BNM, industri berkenaan menjadi lebih elok,” jelasnya lagi.

Selain pemantauan ketat dalam pengurusan TH, Bank Pusat itu juga pastinya akan memilih barisan lembaga pengarah yang tepat dan terbaik.

“Nak letak orang politik di situ (TH) seperti sebelum ini bukan tak boleh tapi pastinya tapisan yang lebih ketat.

“Kebiasannya individu yang ‘tercemar’ memang tak lepas. Itu berdasarkan amalan sedia ada di bank-bank.

“BNM selalunya akan ‘korek’ identiti calon-calon sampai ke lubang cacing,” kata sumber.

Mengulas kebimbangan orang ramai, beliau percaya BNM akan meletakkan TH pada landasan yang sama dengan bank-bank dari segi pelaburan dan perniagaan.

“Senario ini biasa. Siapa yang mahu ada ‘bapa tiri’ yang kawal setiap pergerakan kita kan?,” ujarnya.

Tetapi beliau menolak tanggapan atau kebimbangan segelintir pihak seandainya kedudukan TH di bawah BNM akan menjejaskan peranannya dalam ekonomi Bumiputera.

Sambil memberi contoh, beliau berkata, SME Bank masih fokus kepada usahawan Bumiputera dan mikro.

“Lagipun dengan cadangan ini bukan bermakna semua perkara ditentukan oleh BNM sebaliknya TH masih ada kuasa kerana BNM hanya sebagai badan pengawas,” tambahnya.

TH akan tetap ada audit dalaman tetapi pada masa sama perlu mengambil audit luar untuk pengesahan akaun-akaun yang sudah diaudit.

Dengan adanya, BNM, TH sudah ada pengawas selia yang akan membuat pemeriksaan selepas pengesahan dari auditor luar dan dalam.

“Bukankah dengan cara ini TH akan mempunyai pengawasan yang lebih mantap?,” soal beliau.

Sumber berkata, langkah yang dibuat oleh Kementerian Kewangan, selain penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja akan membantu mengukuhkan pengurusan TH bagi menghadapi cabaran alaf baharu.

Ini penting supaya episod sedih yang sering menyelubungi TH sebelum ini tidak akan berulang lagi.

Lebih daripada itu, peranan utama TH sebagai institusi khas Bumiputera Islam khususnya membantu umat Islam mengerjakan ibadah haji tidak terjejas seperti mana yang disarankan oleh Allahyarham Prof. Diraja Ungku Aziz – pencetus penubuhan TH kerana Akta Tabung Haji masih di bawah pentadbiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam meredakan kebimbangan orang ramai, beliau berkata, BNM mahupun Kementerian Kewangan perlu menggalas tugas lebih baik dengan memberi penjelasan kepada pihak-pihak yang berkepentingan mengenai keputusan penting ini, bukan sekadar melalui kenyataan akhbar. – MalaysiaGazette