Bangunan Tabung haji

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyifatkan Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai institusi penting bagi kestabilan sistem kewangan negara dan keputusan meletakkan TH di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) bertujuan menambah baik pengurusan serta operasi TH secara menyeluruh.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah itu juga diambil untuk melindungi kepentingan pendeposit dan memperkasakan kedudukan kewangan TH dalam memenuhi mandatnya sejajar dengan amalan standard tadbir urus baik yang ditetapkan oleh Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pencegahan Rasuah (UNCAC).

“Selaras dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung TH, kerajaan terus mendokong teguh ketetapan di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan berhubung Islam sebagai agama Persekutuan dan TH akan tetap kekal sebagai agensi unggul khususnya dalam pengurusan jemaah haji untuk menunaikan rukun Islam yang kelima.

“Sehubungan itu, kerajaan ingin memberi komitmen bahawa penambahbaikan operasi TH adalah bertujuan bagi melindungi dan menambah baik kepentingan pendeposit, selain daripada memastikan keteguhan kewangan TH akan terus menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, TH merupakan institusi kewangan yang disifatkan sistemik dan saling berhubung rapat dengan sistem kewangan negara berikutan skala operasinya yang besar (daripada segi saiz deposit dan pelaburan), antaranya; dengan mengurus sejumlah hampir RM82 bilion deposit pada suku kedua 2021, merangkumi 10 peratus daripada jumlah deposit sistem perbankan Islam.

“Sebahagian daripada deposit yang diterima ini diletakkan di institusi perbankan Islam. Pengeluaran deposit secara mendadak berupaya mencetuskan masalah kecairan bagi institusi perbankan Islam berkenaan,” jelas beliau.

Selain itu, TH merupakan pemegang sebanyak RM36 bilion sukuk korporat dan mempunyai aset saham yang besar dalam bentuk pelaburan strategik di pelbagai syarikat korporat termasuk yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Sehubungan itu, sejajar dengan usaha meningkatkan kemampanan TH dalam jangka masa panjang, cadangan aturan pengawalseliaan yang lebih formal di bawah BNM akan meletakkan TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 [Akta 759].

“Pemantauan dan kawal selia oleh BNM merupakan komponen penting dalam usaha memperkasakan TH sebagai sebuah institusi Islam yang lebih berdaya tahan di dalam ekosistem kewangan negara dan ke arah mengangkat kedudukan TH sebagai sebuah Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan yang cemerlang serta lestari di peringkat global,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata BNM dipertanggungjawabkan di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009 [Akta 701] antara lainnya untuk memelihara kestabilan sistem kewangan negara.

Bagi melaksanakan mandat ini, BNM telah diberi kuasa menurut Akta 701 dan juga Akta 759 termasuk mengawalselia institusi kewangan bersifat sistemik, tertakluk kepada keperluan tadbir urus yang terkandung di dalam akta-akta berkenaan.

Pendekatan yang sama juga telah digunapakai dalam mengawal selia institusi kewangan pembangunan yang ditubuhkan dengan mandat khusus seperti Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat).

“Oleh yang demikian, cadangan rangka kerja pengawalseliaan oleh BNM ke atas TH akan disesuaikan berdasarkan ciri-ciri dan risiko model perniagaannya iaitu ‘peraturan yang bersesuaian dengan tujuan’, yang tidak semestinya sama dengan institusi perbankan lain,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, pengawalseliaan oleh BNM juga adalah perlu bagi mewujudkan aspek semak dan imbang selaras dengan ketetapan oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah.

“Pendekatan semak dan imbang yang serupa telah dilaksanakan dalam pasaran modal dan industri lain, contohnya, Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) tidak menghalang atau menyekat PNB daripada melaksanakan mandat asalnya dalam agenda pembangunan negara terutamanya bagi memakmurkan ekonomi bumiputera.

“Dalam konteks syariah pula, BNM mempunyai Majlis Penasihat Syariah BNM yang dianggotai oleh para cendekiawan syariah termasuk individu yang berpengetahuan dan berpengalaman serta turut diiktiraf di peringkat antarabangsa,” demikian menurut Tengku Zafrul.

Beliau berkata, pendeposit TH akan terus menikmati jaminan kerajaan seperti sekarang sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535], pendekatan yang sama seperti BSN yang dikawalselia oleh BNM, yang mana simpanan pendeposit masih dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

“Setiap aktiviti pelaburan TH hendaklah patuh syariah dan penilaian pelaburan perlu dilaksanakan melalui satu proses yang teliti dan telus seperti mana amalan institusi dana yang lain dengan penubuhan Panel Pelaburan yang dianggotai oleh individu-individu yang mempunyai latar belakang serta kepakaran dalam bidang kewangan dan pelaburan,” katanya.

Kementerian Kewangan juga akan bekerjasama rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk memastikan hak mutlak dan kepentingan pendeposit TH tidak akan terhakis, malah akan ditambah baik, tambah beliau. – Bernama