Pendakwah, Ustaz Ebit Lew berjalan keluar selepas membuat laporan polis mengenai dua individu yang memburukkan beliau di laman sosial di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 21 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Pendakwah terkenal, Ebit Liew hanya akan menjawab segala dakwaan melalui platform awam selepas selesai dirakam percakapan oleh polis.

Peguamnya, Datuk Hasnal Rezua MericanĀ  berkata, ia berkaitan dengan dakwaan yang dilemparkan pihak tertentu termasuk rakyat Malaysia di Semenanjung Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamamrulzaman dan penyanyi rap, Caprice mengenai misi kemanusiaan Ebit ke Semenanjung Gaza, Palestin baru-baru ini.

Menurutnya, beliau menemani Ebit untuk membuat laporan polis hari ini atas dua tujuan iaitu pertama meminta polis menjalankan siasatan jika wujud sebarang unsur fitnah berbentuk jenayah oleh pihak luar ke atas anak guamnya.

“Kedua, adalah kita juga membuat laporan polis sebagai asas memulakan tindakan sivil ke atas mana-mana pihak yang masih degil dan tegar untuk memperkatakan dan menyebarkan fitnah ke atas Ebit, mengulang siar intipati bersifat fitnah terhadap Ebit.

“Kita akan zoom ini kepada defendan-defendan yang disasarkan dan memulakan tindakan sivil ke atas mereka.

“Dalam perkara ini, saya menasihatkan ustaz (Ebit) supaya tidak bercakap tentang isu ini buat masa ini kerana selepas buat aduan tadi, percakapan ustaz akan dirakam oleh pegawai penyiasat.

“Saya sudah cakap kepadanya, kalau boleh selesaikan dahulu percakapan polis dan selepas itu kita boleh menjawab kepada media dalam domain awam,” ujarnya katanya kepada selepas membuat laporan polis di Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi petang tadi.

Ditanya sama ada polis sudah memberi tarikh dan masa merakam keterangan, beliau bagaimanapun berkata, pihaknya belum dimaklumkan mengenainya.

Namun beliau yakin keterangan mungkin dirakam oleh pegawai penyiasat di Balai Polis Jalan Tun Razak yang merupakan tempat atau lokasi di mana kesalahan fitnah dilakukan pihak luar.

Beliau yakin proses rakaman percakapan Ebit akan dilakukan secepat mungkin.

Hasnal juga menegaskan, pihaknya akan memantau program IG Live yang akan dijalankan malam ini dengan tajuk ‘Cuba Menegak Benang Basah’ oleh pihak luar yang masih tegar melemparkan dakwaan kepada Ebit.

“Kita akan pantau domain mereka dan akan menjuruskan kepada pemfitnah atau defendan yang benar-benar tegar mahu forum itu berlangsung di mahkamah dan akan heret mereka ke muka pengadilan hadapi proses undang-undang.

“Kalau yang sudah berhenti fitnah contohnya sudah minta maaf itu dalam pertimbangan ustaz jika beliau mahu maafkan dan tidak ingin meneruskan tindakan sivil,” tegasnya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya guna wang sendiri untuk misi Gaza, bukan wang sumbangan – Ebit