Penyelia Penolong Pegawai Perubatan Dewan DG PKRC MAEPS, Engku Mohd Nazri Engku Mansor (kiri) memberi kata-kata semangat kepada pesakit Covid-19, Abdul Aziz Basri, 70 (kanan) selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Pusat Kuarantin dan Rawatan Bersepadu COVID-19 (PKRC) di MAEPS, Serdang, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2021.

PADA tahun ini, buat kali kedua umat Islam khususnya di Malaysia menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha ketika pandemik wabak Covid-19 masih membadai. Prosedur operasi standard (SOP) sambutan tahun 2021 ini dilihat lebih ketat berbanding tahun lalu di mana Malaysia masih lagi di dalam penguatkuasaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berjalan.

Tiada pergerakan rentas daerah mahupun negeri dibenarkan apatah lagi amalan kunjung mengunjung. Acara utama dalam Aidiladha iaitu penyembelihan korban turut diperketatkan peraturan pelaksanaannya. Tiada lagi penyembelihan di lokasi-lokasi persendirian ataupun di masjid dan surau kecuali dengan kebenaran khas pihak berkuasa. Penyembelihan hanya dibenarkan di pusat-pusat penyembelihan yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dengan SOP yang ketat.

Bagi sesetengah pihak, semua sekatan ini dilihat seperti menjejaskan kemeriahan sambutan hari raya hingga ada yang bertindak di luar batasan seperti memalsukan dokumen perjalanan supaya dapat membuat pergerakan rentas negeri untuk pulang ke kampung. Tindakan sebegini sangat tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan implikasi buruk yang bakal timbul akibat kedegilan mereka.

Hakikatnya, apa yang sedang dilaksanakan oleh pihak pemerintah pada ketika ini adalah semata-mata untuk membendung penularan wabak Covid-19 dan ianya bertepatan dengan kaedah fiqh iaitu “al dararu yazal” (mudarat mesti dilenyapkan). Namun sudah pastilah pematuhan kepada segala peraturan ini memerlukan pengorbanan dari semua pihak.

Di sinilah kematangan umat Islam dituntut supaya menghayati hikmah di sebalik segala sekatan yang dikuatkuasakan dalam kita merayakan hari raya korban ini.

Hari Raya Aidil Adha menuntut kita menginsafi semangat keimanan Nabi Ibrahim AS yang sanggup mengorbankan anaknya Ismail demi taqwanya kepada Allah SWT. Ini dizahirkan oleh umat Islam dengan melaksanakan ibadah korban pada 10 Zulhijah dan tiga hari Tasyrik. Namun ketika berhadapan situasi pandemik ini, upacara sembelihan ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar iaitu pengorbanan yang menyeluruh demi kemaslahatan masa depan yang lebih sejahtera untuk umat Islam dan dunia keseluruhannya.

Apalah sangat dengan pengorbanan kita tidak dapat pulang ke kampung bagi meraikan Aidiladha bersama keluarga berbanding pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS. Apabila peraturan PKP meminta kita agar kekal duduk di rumah jika tiada keperluan untuk keluar, maka inilah masa yang terbaik untuk kita memenuhi tuntutan sebenar agama Islam dalam meraikan Aidiladha iaitu dengan memperbanyakkan ibadah zikir, salawat dan bertakbir. Peluang ini juga harus digunakan dengan sebaik mungkin untuk merapatkan hubungan dan keharmonian dalam keluarga.

Apabila tidak dapat ke masjid untuk bersolat hari raya, maka inilah masanya amalan solat berjemaah bersama keluarga di rumah dapat dipraktikkan. Ketua keluarga berpeluang melatih diri menjadi imam dan khatib bagi solat hari raya, ada anak lelaki yang berpeluang melaungkan azan di samping aktiviti bertakbir dapat dibuat bersama seluruh ahli keluarga yang ada di rumah.

Kita juga amat digalakkan bersedekah bersempena hari raya ini. Jika sebelum ini sedekah hanya tertumpu kepada agihan daging korban kepada fakir miskin dan asnaf, namun apabila PKP ini dilaksanakan, bolehlah kita menggunakan peruntukan yang biasanya digunakan untuk perbelanjaan pulang ke kampung mahupun penyediaan juadah yang banyak untuk tetamu digunakan bagi tujuan memberi bantuan kepada jiran tetangga yang terjejas kehidupan mereka akibat pandemik ini. Dengan cara berkongsi rezeki ini, ukhuwah dan silaturrahim bersama ahli masyarakat dapat dijalin dengan lebih harmoni dan erat.

Apabila ibadah sembelihan dihadkan hanya dibuat di pusat-pusat sembelihan yang berdaftar sahaja, ini memberi peluang kepada pusat-pusat sembelihan milik umat Islam ini mempertingkatkan lagi kapasiti, kemampuan dan profesionalisme operasi penyembelihan mereka. Manakala masjid-masjid yang mendapat kebenaran untuk melaksanakan penyembelihan pula sudah pasti terikat dengan pelbagai prosedur dan peraturan serta dipantau oleh pihak-pihak yang berkenaan. Inilah masanya untuk para ahli jawatankuasa masjid dan ahli kariah yang terlibat untuk mempelajari kaedah serta pengurusan penyembelihan yang baik untuk terus diamalkan pada masa akan datang.

Sesungguhnya penguatkuasaan (SOP) bersempena sambutan Aidiladha yang ditetapkan oleh pihak kerajaan ini adalah selari dengan panduan hukum syarak serta bertepatan dengan lima prinsip Maqasid Syariah iaitu; memelihara agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga keturunan dan menjaga harta benda.

Hikmah sekiranya SOP ini dipatuhi, ia bukan sahaja mampu membendung penularan Covid-19 tetapi yang lebih bermakna, ia mampu membentuk umat Islam yang lebih bertaqwa, berdisiplin serta mengamalkan budaya hidup yang sihat dan lestari.

Shafry Salim
Timbalan Pendaftar
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia