discharged acquitted Ku Nan Tengku Adnan Tengku Mansor free conviction Tadmansori Holdings Aset Kayamas Chai Kin Kong corruption conviction
Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Putrajaya kecewa sikap Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwanya bersengkongkol dengan Perdana Menteri punca beliau terlepas daripada dakwaan rasuah.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada 16 Julai lalu yang telah membatalkan sabitan dan hukuman penjara serta bebas dari tuduhan rasuah.

“Aduhai Tun..Sungguh menggelikan hati sebenarnya kerana Tun M sendiri sepatutnya amat kenal siapa saya. Bukankah Tun yang telah menjerumuskan saya dalam kancah politik, menarik saya untuk menceburi politik negara sedangkan saya ketika itu lebih selesa dalam bidang perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosialnya hari ini.

Menurut Tengku Adnan atau dikenali Ku Nan, persoalan kenapa dirinya diheret ke mahkamah memang bukan lagi rahsia.

“Saya adalah antara mangsa pendakwaan terpilih apabila enggan mengikut arahan dari Tun. Bukan sekali pelawaan yang bertukar jadi pujukan dan kemudian arahan untuk saya meninggalkan UMNO serta menyertai ‘pengkhianat’ bangsa.

“Akhirnya ugutan sekiranya saya enggan tunduk bertukar menjadi realiti apabila saya didakwa di mahkamah atas alasan yang diada-adakan. Saya bukanlah lembu yang dicucuk hidung kerana jati diri dan maruah saya adalah tersemat untuk agama, bangsa dan tanah air yang telah saya ikrarkan.

“Saya didakwa dengan tuduhan rasuah bernilai RM2 juta yang tentunya bagi orang yang mengenali saya, waima Tun sendiri tahu bahawa nilai wang itu terlalu kecil. Malah sewaktu saya dilantik sebagai Timbalan Menteri di JPM tahun 2000, saya telah mengisytiharkan nilai aset saya berjumlah RM980 juta ketika itu sehingga Tun sendiri terkejut.

“Memang, bukan nilai harta yang jadi perhatian, kerana nilai aset saya menyusut selepas penglibatan aktif saya dalam politik lantaran saya yang lebih gemar menggunakan wang sendiri daripada menjarah wang parti atau kerajaan,” katanya lagi.

Menurutnya, sehingga hari ini, Dr. Mahathir masih mengelarkannya pencuri, penyangak, penyamun hanya kerana saya enggan menjadi budak suruhannya terutama meninggalkan UMNO.

“Tun jaja dan burukkan nama saya. Saya dipalit fitnah, dihimpit dengan macam-macam kesusahan, ditekan dan dimalukan dengan pendakwaan rasuah. Tak apa, saya redha kerana yakin pada Allah biar pun saya melalui ruang yang panjang, sesi perbicaraan, naik turun mahkamah sepanjang tiga tahun tetapi saya tidak akan alah.

“Saya tahu andainya saya memilih bersama parti Tun, jawatan menteri telah sedia ada untuk saya malah kes pendakwaan saya dimahkamah juga tentu akan digugurkan sekelip mata,” ujarnya.

Ku Nan mengakui pada awalnya selepas keputusan dibacakan, beliau ada terdetik untuk saya mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr. Mahathir serta dua ahli Parlimen DAP yang terlibat di samping bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan Gopal Sri Ram selain sebuah NGO yang menggunakan nama persatuan penduduk kerana telah mempalit lumpur di mukanya dan keluarga.

Namun akhirnya beliau redha dan menganggap kesemuanya sudah menjadi laluan yang tertulis dan mengambilnya sebagai nilai perjuangan dan jihad demi agama, bangsa dan negara.- MalaysiaGazette