KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) menuntut Persidangan Khas Parlimen yang akan berlangsung minggu depan memasukkan pembentangan perancangan Kementerian Pendidikan Malaysia KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai antara agenda mesyuarat.
Dalam satu kenyataan bersama JKPPH yang diketuai bekas menteri pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, ahli Parlimen perlu diberi ruang untuk bertanya, berbahas dan memberikan pandangan terhadap perancangan yang telah dibentangkan oleh KPM dan KPT bagi menghormati peranan Parlimen sebagai badan semak imbang tertinggi negara.
“JKPPH ingin menegaskan rakyat telah hilang keyakinan kepada kerajaan kerana KPM dan KPT pada waktu ini dilihat kehilangan arah tuju dalam menguruskan sistem pendidikan negara.
“Ketiadaan pembentangan daripada kedua-dua kementerian ini dalam sidang khas Parlimen hanya akan menguatkan lagi pandangan tersebut,” katanya.
Menurut kenyataan itu, JKPPH amat berdukacita apabila dalam aturan mesyuarat tersebut hanya pembentangan perancangan kerajaan terkait dengan program pencegahan Covid-19, program vaksinasi, darurat dan Majlis Pemulihan Negara sahaja dalam tempoh lima hari tanpa ada pembentangan berkaitan keadaan pendidikan negara di bawah KPM dan KPT.
Katanya, sidang itu amat penting untuk rakyat mengetahui perancangan kerajaan berhubung isu pendidikan yang telah dirangka oleh kedua-dua kementerian berkenaan.
JKPPH berpandangan, isu pendidikan negara sama ada melibatkan sekolah mahupun universiti di kala wabak Covid-19, sama pentingnya dengan isu kesihatan, keselamatan dan ekonom, justeru ia harus diangkat sebagai agenda dalam persidangan khas itu. – MalaysiaGazette