Azri Ahmad

KUALA LUMPUR – Ketua balai polis (OCS) yang terbabit parti liar ala disko di sebuah balai di Kajang dan turut positif dadah dalam ujian air kencing telah ditahan kerja bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata,  tujuh lagi individu lain yang turut dicekup telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara kertas siasatan akan dilengkapkan penyiasat kes.

“Tiga lagi pegawai dan empat wanita tempatan yang turut ditahan dalam serbuan itu kelmarin telah dibebaskan dengan jaminan manakala ketua balai berkenaan ditahan kerja hari ini dan hasil ujian saringan air kencing terhadapnya mendapati positif dadah jenis ganja.

“Dia telah direman dua hari untuk membantu polis melengkapkan siasatan kes ini untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun Ketua balai itu kemudian telah diikat dengan jaminan polis selepas proses reman dua hari dan siasatan selesai dijalankan ke atasnya tetapi ditahan kerja bermula hari ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Parti liar di balai polis: 8 termasuk 4 anggota polis ditahan 

Tambah Azri,  siasatan terhadap mereka turut dikendalikan oleh pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibupejabat Polis Daerah Kajang.

Justeru katanya, JIPS Bukit Aman pula akan menjalankan siasatan dalam aspek jenayah salah laku dan pelanggaran tatatertib anggota dan pegawai berkenaan di bawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 2015,” katanya.

Semalam beliau mengesahkan penahanan empat pengawai polis termasuk ketua balai bersama empat wanita tempatan awam yang berpesta liar dengan arak di sebuah bilik gelap diterangi lampu disko berputar dan alat pembesar suara dan mikrofon.

Kesemua mereka ditahan semasa serbuan mengejut oleh pasukan JIPS Bukit Aman sekitar jam 3 petang Selasal alu di balai berkenaan.

Ketua balai polis itu yang berpangkat sub inspektor bersama dua anggotanya berpangkat koperal dan seorang koperal sokongan ditahan dalam serbuan itu.

Polis turut berjaya merampas botol minuman disyaki arak berjenama, pembesar suara, lampu disko, peralatan sistem pembesar audio, perakam, mikrofon dan televisyen.-MalaysiaGazette