Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) memberitahu  pihaknya belum memberikan tarikh janji temu vaksin bagi remaja berusia 12 tahun sehingga 17 tahun.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) memberitahu  pihaknya belum memberikan tarikh janji temu vaksin bagi remaja berusia 12 tahun sehingga 17 tahun.

Bagaimanapun dalam satu kenyataan, CITF berkata, pendaftaran bagi kumpulan telah diterima dalam apikasi MySejahtera.

“Sistem MySejahtera akan terus menerima pendaftaran vaksinasi untuk golongan remaja supaya ia boleh digunakan pada masa depan apabila sebarang keputusan dibuat berkenaan hal ini,” kata CITF dalam kenyataan hari ini.

CITF juga berkata, keutamaan kepada Program Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah kepada usaha untuk melengkapkan Fasa 2 dan memantapkan pelaksanaan Fasa 3 di seluruh negara termasuk Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang, berikutan peningkatan kes harian di kawasan pusat penularan pandemik.

Sinar Harian Online semalam melaporkan pendaftaran bagi mendapatkan suntikan vaksin terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas telah dibuka menerusi aplikasi MySejahtera.

Kata CITF, hanya pelajar yang lahir pada tahun 2003 dan akan menyambung pelajaran ke luar negara diberikan keutamaan.

Dalam pada itu, CITF berkata, kerajaan juga telah bersetuju untuk tidak memberikan vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 17 tahun ke bawah termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ia bagi mengelakkan sebarang risiko kes myocarditis dan pericarditis (radang jantung) selepas individu remaja mengambil dos kedua suntikan vaksin Covid-19 seperti kajian di Amerika Syarikat,” jelas badan itu lagi.

Bagi pelajar tahun peperiksaan yang telah mencapai usia 18 tahun vaksinasi Covid-19 akan diteruskan mengikut penjadualan dan janji temu yang telah ditetapkan.

Mereka antaranya calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), termasuk yang akan memasuki usia 18 tahun pada tahun ini.

CITF juga berkata pihaknya sedang mempergiatkan program vaksinasi dalam kalangan guru, kakitangan sekolah dan staf sokongan sekolah sebagai persediaan pembukaan sekolah kelak.

Pelaksanaan itu dipantau secara bersama oleh Pejabat Pendidikan dan Jabatan Kesihatan di peringkat negeri serta daerah.

“Pada masa ini, pihak KKM juga sedang memuktamadkan garis panduan klinikal pemberian vaksin Pfizer kepada kumpulan remaja yang mempunyai masalah kesihatan kronik dan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19. CITF akan membuat makluman lanjut selepas tarikh pelaksanaan vaksinasi bagi golongan ini diputuskan kelak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette