Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M. Yusop (dua kanan) bersama Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid (dua kiri) semasa menyusun agihan zakat sebanyak RM100,000 berupa bakul makanan di bawah inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang akan diedarkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada mereka yang terkesan akibat penularan COVID-19 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 22 JULAI 2021.

PETALING JAYA – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan agihan zakat sebanyak RM100,000 berupa bakul makanan di bawah inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli kepada mereka yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M.Yusop berkata, sumbangan 1,000 bakul makanan ini diagihkan melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kepada mereka yang telah dikenal pasti terputus bekalan makanan berdasarkan maklumat daripada pelbagai pihak.

Katanya, setiap satu bakul bernilai RM100 ini mengandungi makanan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, sardin dan pelbagai barangan kering yang lain demi memudahkan kelangsungan hidup harian penduduk tanpa kekangan.

“Hari ini sebanyak 150 bakul makanan telah kami serahkan kepada IPD Petaling Jaya diwakili Ketua Polis Daerah ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Bantuan kotak makanan itu diagihkan oleh Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Tambah beliau, secara keseluruhannya untuk tahun ini pihaknya menyediakan 26,350 bungkusan makanan kering yang akan diserahkan menerusi pelbagai agensi selain PDRM, jawatankuasa penduduk dan kariah masjid dan sebagainya supaya boleh diagihkan kepada keluarga terkesan, selain bantuan harian membabitkan 14, 758 kotak makanan ke 14,758 rumah di negeri berkenaan setiap bulan.

Dalam perkembangan sama katanya, LZS turut menyerahkan 20 buah kerusi roda kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan serta sukarelawan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ujar beliau, ia satu tanda sokongan dan keprihatinan LZS terhadap usaha barisan hadapan yang bekerja keras untuk memastikan program vaksinasi berjalan lancar.

Menurutnya sebelum ini, LZS telah menyumbang 20 buah kerusi roda kepada Hospital UiTM dilantik sebagai PPV berskala mega dan mengagihkan sebanyak 2,000 pek makanan selama sebulan kepada orang awam yang disahkan posifif covid-19 di Pusat Penilaian Covid-19 di Stadium Melawati, Shah Alam.

Malah pada 2 Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor sepanjang tahun ini.

Menurutnya, oleh kerana PDRM sebagai agensi terdekat dengan masyarakat ia memudahkan urusan pihaknya untuk memenuhi segera keperluan masyarakat sekeliling dengan percepatkan bantuan makanan.

“Kita juga tidak mempunyai kekangan dari segi logistik untuk mengaihkan bakul makanan ini kerana ada kelulusan sebagai agensi mengedar bantuan makanan kepada masyarakat dan kerjasama dengan PDRM sememangnya memudahkan urusan pengesanan penduduk dan pengagihan tersebut.

“Malah sepanjang tempoh PKP 3.0 ini sejak awal Jun lalu, LZS memulakan saluran khas permohonan bantuan bakul makanan dan lebih kurang 2,300 orang yang di luar sana berstatus asnaf didekati dan sejak pelancaran Zakat Selangor Peduli 2 Julai lalu sehingga kini seramai 3,500 penerima telah bermanfaat menerusi inisiatif kami,” kata beliau. – MalaysiaGazette