Senior Minister of Defence, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob at a news conference after a visit to the Vaccination Centre at World Trade Centre Kuala Lumpur. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 01 JULY 2021
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 lokaliti akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari di tiga negeri melibatkan Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak, berkuatkuasa 25 Julai hingga 7 Ogos ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19 di beberapa lokaliti yang dikenal pasti itu.

“Antara lokaliti di Sabah yang terlibat ialah Kampung Kolam, Kudat; Taman Sepanggar, Blok D & E, Apartment Angkasa, Bandar Sinsuran, Kampung Sepakat Jaya, Kampung Rampayan, Kampung Lokub di Kota Kinabalu; Taman Sabana Fasa 1, Keningau; Kampung Berhala Darat & Kampung Melayu Bumiputra, Sandakan serta Kampung Nagapas, Jalan Kebun Lama, Papar.

“Dua lagi lokaliti ialah Kuarters Pekerja Ladang Pelitanah 1 & 2, Dalat, Mukah, Sarawak dan Taman Hock Ann, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, sebanyak dua lokaliti lain pula akan ditamatkan PKPD setelah 14 hari menjalani arahan itu, berkuatkuasa 24 Julai ini.

“Ia melibatkan Apartment Sri Rakyat, Bandar Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Blok 11 & 12, Lorong 4, Taman Nuri, Sandakan, Sabah.

“Kedua-dua lokaliti ini telah menjalani PKPD bermula 11 Julai lalu dan ia akan ditamatkan esok,” katanya lagi. – MalaysiaGazette