Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon menyelar tindakan portal 'OPS Johor' yang berkongsi gambar beliau makan bersama keluarga yang didakwa melanggar SOP.
JOHOR BAHRU – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon menyelar tindakan sebuah portal yang berkongsi gambarnya bersama keluarga bagi menggambarkannya telah melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Beliau berkata, portal OPS Johor yang didakwa milik UMNO itu tiada isu lain sehingga sengaja menimbulkan kemarahan rakyat terhadap dirinya.

“Saya ingin menjelaskan, ini gambar seorang bapa, ibu dan anak makan semeja dalam rumah homestay yang dikatakan sebagai langgar SOP.

“Gambar yang sedang viral itu diambil awal pagi sebelum sesi penyembelihan tersebut bersama isteri dan saya  ketika menjamu hidangan mentong kata orang Johor atau pun supper kata orang putih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat menegaskan, ketika kejadian, dia bersama isterinya, Datin Azizah Haron dan anak bongsu sedang makan semeja sementara menunggu sesi penyembelihan lembu korban yang berlangsung di Pusat Penyembelihan di Rengit, Batu Pahat berlaku dalam keadaan pematuhan SOP.

“Benar, lokasi ini berada dalam kawasan Parlimen Batu Pahat manakala sesi sembelihan yang dillaksanakan adalah pada pukul 3 pagi.

“Selain menyumbang lembu, saya behasrat mahu menyembelih sendiri. Justeru, mengetahui jadual menyembelih lembu adalah pada pukul 3 pagi, maka saya dan keluarga telah menempah  rumah inap berdekatan dengan pusat sembelihan tersebut,” katanya.

Sebelum itu, gambar Mohd Rashid memakan durian di dalam dusun juga tular dan didakwa telah melanggar SOP baru-baru ini.

Dalam waktu yang sama, Mohd Rashid juga menyelar laman Facebook OPS Johor yang mula menularkan cerita mengenainya  untuk bertanya sendiri kepada bos mereka, Datuk Seri Khaled Nordin yang juga  ditularkan terlebih dahulu kerana dakwaan melanggar SOP beberapa hari lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah ketika dihubungi mengesahkan ada laporan dibuat terhadap Mohd Rashid.

“Benar ada laporan mengenai hal ini dan ia kini dalam siasatan untuk pengesahan,” katanya ringkas.-MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Bodoh punya manusia…hari tu bohong pasal durian..yg ni plak kenapa bodoh sangat? Rakyat bukan pertikaikan ko nak makan anak bini kaa..datuk nenek kaa…yg rakyat tanya sekarang ni dah boleh check in hotel kah?? Suruh rakyat stay home tp dia check in home stay…tak musibat namanya tu ..makin hari rakyat makin benci tgk ahlu politik mcm musibat ni

Comments are closed.