Kunjungan Datuk Seri Najib Razak ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk bertemu Ismail Sabri dijadikan isu oleh Kadir Jasin.

KUALA LUMPUR – Kenyataan wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin bahawa UMNO sudah kembali berkuasa semula dalam kerajaan adalah cubaan untuk melaga-lagakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan UMNO.

Menurut Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, langkah Kadir itu dilihat cuba untuk meruntuhkan keharmonian yang dibina kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Alasan UMNO kembali berkuasa secara de facto hanya kerana Datuk Seri Najib Razak melawat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sangat lemah dan hanya menampakkan keterdesakan Kadir yang rapat dengan Tun Mahathir Mohamad.

“Sebagai orang lama, Kadir begitu terdesak hingga menampakkan kelemahan sendiri apabila mengatakan Najib lawat Ismail bagi membincangkan isu berkaitan hala tuju dan dasar negara adalah petunjuk bahawa UMNO sudah menguasai kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penganalisis politik itu juga berkata, Kadir Jasin mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas apabila mengaitkan penyerahan sebuah memorandum berjudul “Tuntutan Rakyat” oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf kepada Ismail tidak kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengiktirafan UMNO bahawa Ismail adalah Ketua Kerajaan de facto.

“Tuduhan Kadir bahawa secara de facto “UMNO is back in power” dan jalan ke Sungai Buloh mungkin nampak semakin pudar dan harapan lepas bebas semakin cerah bagi para anggota kluster mahkamah Umno juga adalah jauh menyimpang.

“Perbandingan situasi sekarang dengan situasi 1997-98 apabila para penyokong Anwar Ibrahim mula melayan beliau sebagai Perdana Menteri de facto sehingga membelakangkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, juga tidak logik.

“Adalah menjadi lumrah kepada para pemimpin sesebuah parti untuk membuat kunjungan hormat kepada pemimpin parti mereka yang lain yang baru mendapat lantikan jawatan tinggi di samping mengemukakan pengharapan mereka kepada beliau,” katanya lagi.

Beliau merujuk kepada kenyataan Kadir Jasin yang mana berkata UMNO kini padanya sudah mendapat kembali kuasanya.

Bekas penasihat media kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata ia disahkan dengan kedatangan Datuk Seri Najib Razak ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk bertemu Ismail Sabri, kelmarin.

Dr Kamarul Zaman Yusoff

Mengulas lagi, Kamarul Zaman berkata, Kadir Jasin dilihat mahu melaga-lagakan Ismail dengan Muhyiddin sedangkan kesemua jemaah Menteri Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan PN pernah melafazkan taat setia kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

“Saya melihat apa yang dilakukan oleh pemimpin UMNO yang mengunjungi Ismail ini sebagai langsung tidak membimbangkan kerana ia sebenarnya adalah perkara yang baik di mana pemimpin UMNO sudah mempunyai saluran untuk menyampaikan sesuatu.

“Untuk menyatakan bahawa Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri akan mampu melaksanakan segala kehendak dan tuntutan para pemimpin UMNO lain adalah satu perkara yang tidak realistik dan menunjukkan Kadir seolah-olah berada di alam khayalan.

“Kadir mesti tahu bahawa walau apa pun yang diserahkan kepada Ismail ia pada akhirnya akan dibawa kepada pertimbangan Muhyiddin selaku Perdana Menteri dan pada akhirnya kepada mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibincang dan diputuskan secara bersesama,” kata Kamarul Zaman lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast