Mahkamah Taiping.

TAIPING – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menjalankan perniagaan pinjaman wang berlesen di alamat berbeza daripada pendaftaran yang dibuat dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Tertuduh, K. Desmond Jeyan, 28, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Adibah Abdul Kader.

Mengikut pertuduhan, Desmond Jegan didakwa telah menjalankan perniagaan pinjaman wang berlesen di alamat operasi berbeza daripada didaftarkan dengan KPKT.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di No 16, Jalan Medan Taiping, Perak pada 7 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8(b) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang boleh dihukum di bawah Seksyen dan akta yang sama yang memperuntukan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Asisten Superintendan Rosmaria Awang manakala tertuduh diwakili peguam Hari Prassad Rao.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh, diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 25 Ogos  ini untuk sebutan semula kes. 

Terdahulu, hasil siasatan dan risikan selama dua bulan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping membawa kepada penangkapan suspek pada 7 Julai menerusi Ops Vulture dan pendakwaan dilakukan oleh Inspektor T. Selvakumar. – MalaysiaGazette