Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba

KUALA LUMPUR – Bukti saintifik yang terbaharu  menunjukkan individu yang dijangkiti varian yang membimbangkan (VOC) Delta Covid-19 mempunyai bilangan virus dalam badan yang mampu mendedahkannya 1,000 kali lebih tinggi daripada varian lain.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, ia semakin membimbangkan kerana varian berkenaan mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tertinggi antara dua lagi VOC lain iaitu Beta dan Alpha.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini bersama Menteri Penyelaras Program Imuniasasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Dr. Adham berkata, sehingga 21 Julai lalu, sebanyak 392 VOC telah dikesan di Malaysia yang merangkumi 205 jangkitan VOC Beta, 173 VOC Delta dan 14 VOC Alpha direkodkan sehingga kini.

Beliau berkata, data penjujukan genom dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut bulan pula menunjukkan SARS-CoV-2 jenis VOC telah menggantikan penularan bukan VOC.

Menurut data itu, katanya, kes VOC mula meningkat pada Mei dengan 56 kes dilaporkan manakala ia terus meningkat pada Jun dengan 95 kes yang disampel.

Dalam perkembangan lain, Dr. Adham berkata, kit ujian air liur untuk saringan kendiri Covid-19 kini boleh dibeli orang ramai dan telah berada di pasaran sejak Rabu lalu.

Tambahnya, orang ramai boleh mula mendapatkannya di farmasi komuniti dan fasiliti kesihatan.

“Kit ujian boleh digunakan oleh mana-mana individu yang ingin mengetahui status Covid-19, individu yang mempunyai kontak dengan pesakit positif dan kawasan bersesuai seperti pintu masuk antarabangsa, saringan rentas negeri dan saringan pra pekerjaan.

“Kita ujian kendiri Covid-19 boleh dibeli dari farmasi atau fasiliti kesihatan swasta. Pengguna hendaklah memastikan kit ujian kendiri yang diperolehi telah mendapat syoran daripada pihak berkuasa peranti perubatan.

“Pengguna boleh mendapatkan senarai jenis kit ujian ini daripada laman web MPA, perlu mematuhi arahan kaedah penggunaan kit ini.

Sehingga 21 Julai, tiga kit kendiri Covid-19 telah diberikan kelulusan bersyarat untuk dijual bagi kegunaan orang awam.

Dalam pada itu, selepas mendapatkan keputusan sama ada positif atau negatif, pengguna diwajibkan membuat laporan di aplikasi MySejahtera untuk proses seterusnya.

“Pengguna perlu membuat laporan sendiri melalui aplikasi MySejahtera samada ujian itu samada positif atau negatif. Sekiranya negatif namun bergejala, KKM menasihatkan agar mereka ini hadir ke fasiliti awam mahupun swasta untuk penilaian kesihatan,”

Tambah Dr. Adham, bagi mereka yang didapati positif mereka mempunyai pilihan iaitu untuk hadir ke fasiliti kesihatan ataupun Pusat Penilaian Covid-19. – MalaysiaGazette