Gambar hiasan

BALIK PULAU – Taktik seorang lelaki menggunakan gambar profail wanita seksi dalam aplikasi palsu untuk memperdayakan mangsa sebelum memeras ugut mereka sejak tahun 2019 terbongkar.

Kegiatan suspek berusia 24 tahun itu terbongkar selepas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya  menahannya di Pontian, Johor semalam.

Ketua Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, tangkapan dibuat susulan laporan seorang lelaki berusia 20-an di Balai Polis Bayan Lepas pada 16 Julai lalu.

Berdasarkan laporan itu, mangsa yang juga pekerja kilang mendakwa mengalami kerugian RM450 akibat diperas ugut suspek selepas melanggan pakej perkhidmatan seks secara dalam online.

“Hasil siasatan mendapati suspek yang tidak bekerja itu menggunakan gambar profail wanita seksi bagi menarik perhatian mangsa supaya melanggan pakej perkhidmatan seks menerusi aplikasi WhatsApp dan Mi-Chat.

“Suspek dikatakan akan menghubungi mangsa secara rawak atau dihubungi mangsa menerusi aplikasi itu sebelum mesej perbualan antara mereka dijadikan bahan untuk memeras ugut dengan menyebarkannya kepada kenalan atau keluarga melalui Facebook,” katanya kepada pemberita hari ini.

Kad sim pelbagai syarikat komunikasi antara yang dirampas polis dalam milikan suspek.

Turut dirampas dalam serbuan itu, telefon bimbit, satu kad juruwang automatik (ATM) serta 28 keping kad sim pelbagai syarikat komunikasi yang dipercayai digunakan suspek untuk kegiatan haram tersebut.

Tambah Kamarul Rizal, siasatan juga mendapati suspek mendapat idea untuk melakukan kegiatan itu selepas mengalami kerugian RM900 susulan menjadi mangsa kegiatan sama pada tahun 2017.

Kata beliau, hasil soal siasat suspek mengaku melakukan kegiatan itu sejak tahun 2019 dan telah mengaut keuntungan berjumlah RM34,000.

“Tangkapan suspek ini berjaya menyelesaikan empat kes di Pulau Pinang dan Selangor. Semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.

“Suspek direman selama tiga hari sehingga esok bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” ujar  Kamarul Rizal.

Sehubungan itu, Kamarul Rizal menasihatkan  orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial untuk kegiatan jenayah serta tujuan tidak bermoral. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast