Abdul Hadi Awang PAS GE14 14th General Election Perikatan Nasional Islam Muslim
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas menzahirkan kebanggaannya dengan kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020, yang dianggap sebagai kerajaan tidak bermoral selama 22 bulan mentadbir.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kejatuhan kerajaan itu disebabkan tindakan segelintir pemimpin mereka sedar dan insaf lalu keluar dari parti itu untuk bersama golongan yang lebih bertanggungjawab.

“Kita berjaya menjatuhkan kerajaan yang tidak bermoral itu dengan dibantu oleh mereka yang sedar akan kebocoran bahteranya sendiri.

“Kemudian digantikan dengan kerajaan yang bertanggungjawab dengan penuh kesabaran dan menunaikan kewajipan kepada rakyat tanpa sebarang janji manis.

“Ini kerana, perkara yang wajib hendaklah ditunaikan dan tidak semestinya dilakukan hanya setelah berjanji. Bagaimanapun, ia tetap wajib ditunaikan, malah berdosa sekiranya tidak ditunaikan,” katanya dalam tulisan Minda Presiden Pas, semalam.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, lebih besar dosanya jika tidak menunaikan janji dalam perkara yang wajib ditunaikan oleh sesebuah kerajaan.

Apatah lagi, katanya, berdosa sekiranya menghabiskan masa dengan perebutan jawatan yang diharamkan meminta-minta dan menjadi kecintaan hidup duniawi.

Malah berdosa kerana berbohong dan menipu rakyat demi mencapai cita-cita sehingga menghalalkan segala cara.

“Demikianlah amalan politiking murahan parti berkenaan semata-mata untuk menipu rakyat yang lemah akalnya dan mudah lupa atau jahil berkenaan segala-galanya.

“Mereka lupa betapa janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu tenggelam dalam perbalahan siapakah yang patut menjadi Perdana Menteri, bukannya mereka berusaha memenuhi kewajipan bagi menunaikan janji manifesto.

“Setelah kerajaannya hilang, pihak lain pula yang dipersalahkan. Berfikirlah dengan matang dan sejahtera,” katanya.

Abdul Hadi secara sinis berkata, adakah mereka yang tidak mampu menunaikan janji PRU-14 tiba-tiba hari ini mendakwa mampu menyelesaikan masalah Covid-19 yang sedang merebak ke seluruh alam di muka bumi.

Walhal, ujar beliau, sehingga sekarang belum ada mana-mana negara berjaya menanganinya wabak itu.

“Adakah mereka yang sebegitu rupa masih boleh dipercayai, apabila secara tiba-tiba bertempik dengan berdemonstrasi dan mengangkat slogan gagah perkasa kononnya mampu menghadapi wabak yang melanda seluruh dunia hari ini?

“Sedangkan, mereka baru sahaja menipu rakyat dengan janji manifesto yang tidak mampu ditunaikan? Berpolitik tidak seharusnya menjadi seperti penjual ubat yang menipu pelanggan, dengan menggunakan cara kotor yang diharamkan.

“Mungkin politik diamalkannya berpisah daripada sempadan agama dan moral yang luhur, suatu sifat tidak boleh diterima masyarakat beragama, berakhlak dan berakal sihat. Inilah sebenarnya yang dinamakan dengan politik yang kotor,” katanya.

Beliau berkata, rakyat dihabiskan masa dengan cara yang kotor ini, khususnya disebarkan melalui media tanpa sempadan yang membawa wabak merosakkan kefahaman serta mempengaruhi masyarakat sehingga ramai diperbodohkan.

Kata beliau, caranya hanya menyebarkan masalah yang belum selesai di seluruh dunia sebagai alasan kegagalan dan menutup banyak kejayaan yang telah dicapai.

“Lebih parah sekiranya gerakan merosakkan masyarakat ini didalangi musuh agama, negara dan bangsa yang bersedia memberikan seberapa banyak sumbangan kepada sesiapa sahaja yang bersedia menjadi tentera upahannya. Lebih malang lagi, apabila penganut Islam berwalikan (bertuankan) kepadanya.

“Maka, seluruh rakyat wajib bersatu dalam menghadapi wabak penyakit pemikiran dan kefahaman yang lebih berbahaya daripada wabak Covid-19 ini. Suatu wabak yang boleh mematikan syakhsiah umat.

“Bahkan, lebih berbahaya jika dibandingkan dengan wabak Covid-19 yang mematikan jasad serta mencabut roh mereka yang masih beriman dan berakhlak mulia,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Janji manifesto tak tunai ada hati mahu selesaikan Covid-19…..MASA 22 bulan pelbagai Alasan Menutup mata kes ini…..rujuklah kenyataan Wan Azizah/Mahathir/Dr Zul Ahmad/ex menteri pelancongan……tapi sekarang nak jadi HERO TAMIL

    Tuding jari kerajaan GAGAL…Hebat sangatkah negeri dan wilayah bawah P unah H araPAN…Selangor KL/N9/PP…..100% tiada masalah COVID atau KEKAL JUARA TERTINGGI…..

Comments are closed.