Kapal tangki Panama yang bersauh secara haram di perairan Johor semalam.

KOTA TINGGI- Sebuah kapal tangki yang berdaftar dari Panama ditahan dalam Operasi Jangkar Haram selepas disyaki bersauh secara haram di perairan Johor Timur, tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki itu ditahan di kedudukan 14.6 batu nautika dari timur laut Tanjung Kelesa, di sini.

“Penahanan dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan penguatkuasaan di perairan Johor Timur sekitar jam 12.30 tengah hari semalam,” katanya menerusi kenyataan media hati ini.

Beliau berkata, kapal tangki itu dikendalikan oleh sembilan kru warga Indonesia, berusia antara 24 hingga 49 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda kapal tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

“Kapal berserta kesemua kru telah ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.  – MalaysiaGazette