gambar hiasan

TAHUKAH anda terdapat 1.12 juta pengguna rokok elektronik di Malaysia? Penggunaan rokok elektronik adalah fenomena yang sedang berkembang kerana ia semakin dikenali dan diterima di seluruh dunia. Kaji Selidik Persepsi Rakyat Malaysia tentang Tabiat Merokok dan Penggunaan Vape mendapati majoriti perokok (69%) inginkan undang-undang yang membenarkan pengedaran dan penjualan rokok elektronik sebagai alternatif untuk membantu mereka berhenti menghisap rokok.

Penggunaan rokok elektronik juga telah diterima secara meluas di negara-negara lain. UK dan New Zealand misalnya, telah mengawal penggunaan produk tersebut melalui penggubalan undang-undang khusus untuk vape. Negara-negara ini juga telah melaksanakan pengawalan yang berbeza ke atas rokok elektronik berbanding rokok biasa, dengan mengambil kira bukti-bukti yang telah dikenal pasti mengenai rokok elektronik yang mempunyai profil risiko lebih rendah berbanding rokok biasa.

Begitu banyak kajian di peringkat antarabangsa telah menyatakan bahawa penggunaan rokok elektronik didapati amat efektif sebagai alat untuk menghentikan tabiat merokok. Salah satu kajian penting yang baru diterbitkan adalah dari Cochrane Review pada Oktober 2020 yang mendapati bahawa vape yang mengandungi nikotin adalah jauh lebih berkesan untuk membantu para perokok berhenti merokok berbanding produk-produk lain seperti pelekat atau gula-gula getah nikotin.

Satu lagi kajian oleh University College London (UCL), mendapati bahawa rokok elektronik telah membantu lebih 50,000 perokok di England berhenti menghisap rokok setiap tahun. Manakala National Institute for Health Research (NIHR) di England melalui satu kajiannya yang melibatkan hampir 900 peserta mendapati bahawa dalam Local Stop Smoking Services (perkhidmatan berhenti merokok), rokok elektronik biasa adalah dua kali lebih efektif dalam membantu perokok berhenti merokok berbanding bagi mereka yang memilih kombinasi terapi pengganti nikotin (NRT).

Sebelum bertukar kepada rokok elektronik, saya adalah seorang perokok tegar dan telah merasai sendiri kesan buruk gaya hidup tersebut kepada kesihatan saya. Ini telah menjejaskan kehidupan peribadi dan profesional saya kerana ketika itu, tidak banyak maklumat tentang alternatif lain kepada rokok biasa. Pada masa itu, alternatif yang ada amat terhad seperti terapi penggantian nikotin yang tidak boleh diikuti dengan tetap oleh saya dan ramai perokok lain.

Menyentuh tentang isu pengambilan vape dalam kalangan remaja bawah umur di Malaysia yang tular baru-baru ini, selain daripada pandemik yang sedang kita hadapi ini, wujud juga masalah penyalahgunaan vape oleh golongan remaja bawah umur di Malaysia. Tindakan seperti ini menjejaskan golongan lain dalam komuniti pengguna vape yang menggunakan vape sebagai alat untuk membantu menghentikan tabiat merokok.

Para pengusaha dalam industri ini masih menunggu Kerajaan Malaysia untuk menghasilkan rangka tindakan perundangan. Sementara itu, ketiadaan pengawalan vape memudahkan sesiapa sahaja untuk membeli vape, termasuk remaja bawah umur.

Apakah manfaat mengharamkan vape untuk membanteras penggunaan vape oleh remaja bawah umur dan penyalahgunaan produk tersebut? Kalau ada kesan sekalipun, ia akan membantutkan sebarang perkembangan yang telah berjaya dicapai dalam usaha menghasilkan pengawalan yang baik dalam industri vape. Thailand yang telah mengharamkan vape di seluruh negara tersebut mencatatkan kadar pertumbuhan tahun-ke-tahun untuk pasaran rokok elektronik sebanyak kira-kira 100% sejak tiga tahun lalu.

Di New York, pengharaman vape telah mewujudkan pasaran haram yang menguntungkan. Kesannya, pengharaman vape di seluruh negara hanya akan mengembangkan pasaran haram untuk produk-produk ini. Tanpa garis panduan yang betul untuk standard pengilangan dan maklumat yang tepat untuk menggunakan vape sebagai alat bantuan berhenti merokok, pasaran haram ini akan terus tidak terkawal dan terdedah kepada golongan yang hanya mementingkan keuntungan tanpa mengamalkan standard yang betul untuk menghasilkan peralatan dan cecair vape dan akan mengakibatkan pengguna terdedah kepada risiko kemalangan yang boleh dielak.

New Zealand, Kanada, dan United Kingdom telah menerajui usaha ini dan banyak negara mula mengikuti langkah mereka, dengan menerima kajian sains yang meluas tentang rokok elektronik dan potensinya untuk menggantikan kadar merokok selama-lamanya. Negara-negara ini telah mengiktiraf peranan vape nikotin dalam membantu perokok berhenti merokok sepenuhnya dan bertukar kepada vape, yang telah terbukti kurang berbahaya berbanding rokok biasa.

Pengawalan rokok elektronik di negara-negara ini telah membuktikan bahawa pihak berkuasa boleh mencapai keseimbangan di antara membolehkan demografi perokok untuk beralih kepada alternatif yang kurang membahayakan di samping memastikan rokok elektronik tidak sampai ke tangan golongan remaja bawah umur.

Baru-baru ini, Filipina telah memperkenalkan Undang-Undang 9007, yang mencadangkan ‘Akta Pengawalan Sistem Penyampaian Nikotin Tidak Mudah Terbakar’. Ia menunjukkan bahawa dengan pengawalan yang baik, kerajaan mampu mengimbangkan antara produk-produk vape untuk menghentikan tabiat merokok dan mencegah penggunaannya oleh golongan bawah umur. Harap untuk Malaysia juga boleh menerajui usaha mengurangkan kesan buruk penggunaan tembakau melalui pengawalan vape.

Oleh Y.M. Tengku Aslahuddin Ja’afar Tengku Azlan
Presiden Persatuan Pengguna Vape Malaysia