Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Redzuan Md Yusof (dua kanan) bertanyakan sesuatu dengan seorang gelandangan pada Program Santuni Golongan Gelandangan di Pusat Gelandangan Medan Tunku, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 700 individu dikesan hidup bergelandangan di jalanan sekitar ibu negara ketika ini.

Daripada jumlah tersebut dianggarkan 200 gelandangan kini berada di Pusat Transit Gelandangan kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) termasuk pusat yang disediakan oleh badan bukan kerajaan (NGO).

“Di sini ada lebih kurang 80 individu dan mereka dijaga dengan baik oleh pihak DBKL serta NGO selain bantuan yang disalurkan lebih daripada mencukupi.

“Tetapi kita tidak lah sampai hendak memanjakan mereka, jadi seboleh mungkin kita wujudkan aktiviti dalam komuniti tersebut untuk cuba naikkan pendapatan mereka,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Pusat Transit Gelandangan, Jalan Pahang hari ini.

Selain itu, Mohd Redzuan turut meluangkan masa menyantuni golongan kurang bernasib baik tersebut di Pusat Gelandangan Medan Tuanku.

Hadir sama, Pegawai Operasi Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Syed Anas Syed Adli.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, pihaknya akan terus menggembleng tenaga dan usaha dalam mendekati golongan gelandangan yang masih berada di jalanan ketika pandemik Covid-19 ketika ini.

Sebahagian gelandangan beratur untuk mengambil makanan pada Program Santuni Golongan Gelandangan di Pusat Gelandangan Medan Tunku, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 JULAI 2021.

“Kerajaan mahu dekati semua lapisan masyarakat tidak kira apa latar belakang mereka termasuklah gelandangan kerana kita mahu bawa mereka keluar dari zon tersebut.

“Dalam masa sama, kita juga mahu golongan itu didedahkan dengan dasar-dasar kerajaan yang bertujuan membantu mereka.

“Kita turut ucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang sering bekerjasama terutamanya kelompok NGO ini kerana sumbangan yang dihulurkan banyak membantu golongan tersebut baik dari segi makanan serta barangan keperluan,” ujarnya. – MalaysiaGazette