TOKYO – Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan dengan menumpaskan pemain Ukraine Artem Pochtarov dalam aksi pertama peringkat Kumpulan M pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini.
Pemain berusia 23 tahun itu yang membuat penampilan pertama di pentas Olimpik mencatat kemenangan mudah selepas mengetepikan cabaran lawannya itu dalam tempoh 25 minit pada aksi yang berlangsung di Musashino Forest Sport Plaza.
Zii Jia, yang berada di ranking kelapan dunia, ternyata berada di kelas tersendiri pada set pertama apabila merekodkan kemenangan 21-5, sebelum mengatasi Pochtarov yang menghuni ranking ke-98 dunia dengan 21-11 pada set kedua.
Selain Pochtarov, pemain kelahiran Kedah itu yang muncul Juara All England pada Mac lepas dan diletakkan sandaran meraih pingat emas negara pada Sukan Olimpik Tokyo, akan menentang pemain Perancis, Brice Leverdez dalam aksi Kumpulan M, selepas ini. – Bernama