Sebahagian doktor kontrak Hospital Pulau Pinang berjalan dari lobi ke jabatan kecemasan sebagai tanda hartal mogok doktor kontrak yang berjalan serentak di seluruh negara hari ini.

GEORGE TOWN – Kira-kira 20 doktor kontrak Hospital Pulau Pinang (HPP) menunaikan janji mereka dengan melaksanakan “walk-out” sebagai tanda sokongan terhadap mogok Gerakan Hartal Doktor Kontrak yang berlangsung secara serentak di seluruh negara hari ini.

Rata-rata mereka dilihat memakai baju berwarna hitam berjalan keluar dari lobi HPP pada jam 11.30 pagi menuju ke Jabatan Kecemasan sebelum bersurai.

Sebahagian doktor kontrak berkumpul di lobi HPP sebelum berjalan ke Jabatan Kecemasan.

Pergerakan mereka turut dipantau sekumpulan polis yang berada di lokasi bagi memastikan tiada sebarang insiden lain berlaku termasuk pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Seorang wakil doktor kontrak, Dr Zakiah Hanim Zakaria, 29, berkata, mogok ini bertujuan memastikan polisi negara dapat ubah agar syarat doktor kontrak lebih bersistematik.

Jelas anak kelahiran Kedah itu, mereka selaku doktor kontrak mahukan masa depan Malaysia  terjamin dengan adanya doktor pakar tempatan yang berkhidmat dalam negara.

Dr Zakiah Hanim memegang kad bertulis hartal sebagai tanda sokongan mogok doktor kontrak secara serentak di seluruh negara hari ini.

“Kita sedia maklum doktor pakar yang sedia ada ini akan bersara nanti jadi kita mahu negara ada perancangan untuk menghasilkan pelapis mereka.

“Kita mahu doktor genarasi baru ini menjadi pelapis pakar yang akan bersara itu sekali gus untuk menjaga kebajikan kesihatan rakyat,” katanya yang sudah berkhidmat selama tiga tahun sebagai doktor kontrak di HPP.

Tambah Zakiah Hanim, dakwaan hartal ini menjejaskan kebajikan pesakit di hospital itu tidak betul memandangkan rata-rata mereka yang hadir hari ini tidak bertugas serta bertugas syif malam.

Dr Zakiah Hanim.

“Kebajikan penjagaan pesakit adalah keutamaan doktor jadi tidak timbul isu kami abaikan mereka dan kalau kita lihat ramai doktor kontrak yang bertugas ketika ini tidak sertai kami pada hari ini.

“Kalau ikutkan saya pun tidak mahu hadir, tapi bila memikirkan doktor-doktor kontrak perlu bersatu menunjukkan hartal ini penting sebab itu saya turut serta.

“Dengan kehadiran ramai doktor diharapkan pihak kerajaan dapat pertimbangkan permintaan kami berkaitan syarat-syarat doktor kontak,” kata beliau yang kini bertugas di wad merawat pesakit Covid-19.

Hadir sama di lokasi ialah Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr Asmayani Khalib bagi melakukan pemantauan berhubung hartal doktor kontrak di HPP.

Dr Chew Kai Soon.

Sementara itu, Dr Chew Kai Soon, 28, berkata, terdapat kira-kira 100 doktor kontrak berkhidmat di HPP.

“Bagaimanapun, saya tak nampak masa depan kami dalam bidang ini. Apa yang kami mahu adalah hak sama rata seperti orang lain.

“Saya berkhidmat di wad Covid-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakkan pertama dan sudah hampir 11 bulan saya tidak jumpa dengan isteri yang juga doktor di Hospital Sarawak.

“Kami hanya mahu sistem doktor kontrak diperkemaskan demi masa depan doktor-doktor baru,” jelas Kai Soon. – MalaysiaGazette