Sebilangan doktor kontrak berkumpul sebagai tanda protes bagi menyahut seruan gerakan Hartal Doktor Kontrak susulan rasa tidak puas hati dengan cara pengendalian isu tersebut ketika di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 26 JULAI 2021.

KLANG – Kira-kira 30 doktor muda yang berjawatan kontrak di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) menyertai Hartal Doktor Kontrak di hadapan Kompleks Rawatan Ibu dan Bayi hari ini.

Doktor-doktor muda itu mula berkumpul sekitar pukul 11.45 pagi bagi menyahut seruan gerakan yang dijalankan secara serentak di semua hospital kerajaan di seluruh negara.

MalaysiaGazette difahamkan tindakan mogok di HTAR berlangsung sedikit lewat berbanding fasiliti-fasiliti kesihatan yang lain kerana mereka khuatir akan tindakan yang bakal dikenakan.

Salah seorang peserta pada hari ini turut memaklumkan bahawa mereka turut menerima notis daripada pihak atasan supaya tidak meneruskan hartal yang dirancang selain berisiko untuk berdepan dengan tindakan tata tertib.

Sebilangan doktor kontrak berkumpul sebagai tanda protes bagi menyahut seruan gerakan Hartal Doktor Kontrak susulan rasa tidak puas hati dengan cara pengendalian isu tersebut ketika di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 26 JULAI 2021.

Rata-rata doktor muda yang berkumpul turut membawa sekeping kertas yang bertulis tanda pagar seperti ‘Save Us’, ‘Doktor Kontrak’ serta ‘Hartal’.

Seorang wakil doktor yang hanya ingin dikenali sebagai Dr. H berkata, tindakan mogok yang dilancarkan itu bertujuan mengangkat suara mereka yang sudah sekian lama tidak didengari.

“Untuk membela nasib kami yang dalam keadaan kontrak ini di mana tiada masa depan atau hala tuju yang jelas. Jika kami tidak dapat perjawatan tetap, kami tidak boleh melanjutkan pelajaran.

“Walaupun sekarang sudah dilanjutkan kepada empat tahun, sebenarnya ia masih tidak cukup untuk kami teruskan pelajaran untuk menjadi seorang pakar.

“Sebab itu kami minta kerajaan bantu kami uruskan isu ini dengan beri jawatan tetap,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. H berkata, hartal yang dilancarkan hari ini dijalankan secara terkawal dan jauh sekali melibatkan sebarang rusuhan.

“Kami juga sudah ‘pass over’ kes-kes kepada rakan sekerja yang lain jadi kami tidak sesekali membahayakan nyawa pesakit,” ujarnya.

Kesemua doktor-doktor terbabit berkumpul sekitar 15 minit untuk menunjukkan tanda protes mereka terhadap isu sebelum petugas keselamatan hospital serta anggota polis meminta mereka untuk bersurai.

Dalam pada itu, di Hospital Sungai Buloh (HSB), kira-kira 50 doktor berstatus kontrak keluar dari kawasan hospital untuk berkumpul bagi menjayakan gerakan hartal.

Beberapa doktor yang menyertai perhimpunan itu turut memakai pakaian hitam selari dengan seruan gerakan selain membawa plakad dengan mengelilingi kawasan luar hospital.

Sekumpulan doktor kontrak berarak bagi menyahut seruan gerakan Hartal Doktor Kontrak berikutan rasa tidak puas hati dengan cara pengendalian isu tersebut di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 26 JULAI 2021.

Untuk rekod, Hospital Sungai Buloh digazetkan sebagai hospital penuh Covid-19 pertama pada Oktober tahun lalu disusuli dengan Hospital Ampang dan Hospital Selayang.

Sekumpulan doktor kontrak berarak bagi menyahut seruan gerakan Hartal Doktor Kontrak berikutan rasa tidak puas hati dengan cara pengendalian isu tersebut di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Foto HAFIZ SOHAIMI, 26 JULAI 2021.

Media sebelum ini melaporkan doktor kontrak di seluruh negara akan menjalankan mogok pada 26 Julai jika dua tuntutan yang dikemukan dalam Memorandum Gerakan #Hartal tidak diselesaikan kerajaan dalam tempoh ditetapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast