Foto: Bomba

IPOH – Sepasang suami isteri maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas ke bahu jalan di Jalan Kampung Colombia, Ayer Tawar, kira-kira 70 kilometer dari sini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, petugas dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan mengenai insiden itu pada pukul 5.32 petang.

Beliau berkata, R.Ellango, 51 dan isterinya S.Thavaselvi, 43, disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas kesihatan.

“Kemalangan itu menyebabkan kereta jenis Proton Iswara yang dinaiki mereka musnah terbakar 90 peratus. Kedua-dua mereka dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, mayat pasangan itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.18 petang. – Bernama