KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti untuk menggubal undang-undang khusus bagi membendung kegiatan ulat tiket (scalping) yang sering berlaku pada acara-acara mendapat tumpuan ramai.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, kementeriannya bersama Kementerian Komunikasi serta agensi-agensi berkaitan menjayakan usaha tersebut kerana menyedari manipulasi yang sering berlaku setiap kali acara berskala besar dianjurkan.

Ini termasuk penganjuran sukan permotoran Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang bulan depan.

Orang ramai diingatkan agar tidak menjadi mangsa ulat tiket untuk perlumbaan F1 yang akan berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober depan.

“Pembelian daripada penjual tidak rasmi mendedahkan pengguna kepada risiko menerima tiket palsu, tiket yang telah digunakan atau yang dibatalkan oleh pihak penganjur.

“Sebelum membuat sebarang bayaran, semak saluran jualan rasmi, harga asal, identiti penjual dan syarat penggunaan tiket terlebih dahulu.

“Jangan mudah percaya kepada tangkap layar pemindahan tiket atau desakan penjual yang meminta bayaran segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, taktik memborong tiket dalam jumlah yang banyak termasuk penggunaan bot automatik untuk dijual semula pada harga berlipat kali ganda merupakan tindakan mengaut keuntungan atas keterujaan peminat.

“Langkah meneliti undang-undang khusus ini dibuat bagi memastikan hak serta kebajikan pengguna sentiasa terpelihara, namun kesedaran kendiri tetap menjadi benteng paling utama.

“Selagi ada yang sanggup membeli pada harga melampau, selagi itulah isu ulat tiket ini tidak akan selesai,” katanya.

Fuziah turut menyeru orang ramai agar menggunakan kuasa sebagai pengguna dengan menolak sebarang bentuk tawaran ulat tiket dan tidak membiarkan keterujaan mengatasi pertimbangan hingga menjadi mangsa penipuan.

Perlumbaan Grand Prix (GP) F1 Bahrain akan berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober ini.

Tiket MADANI serendah RM200 merupakan inisiatif khusus untuk pemegang MyKad bagi akses sepanjang tiga hari F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026.

Selain tiket MADANI, tiket-tiket dikhabarkan bermula pada RM800 sehingga lebih RM2000. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here