Datuk Seri Sahabudin Abd Manan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah meluluskan cadangan perolehan 16 unit dron jenis Vertical Take-Off And Landing (Vtol) kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12).

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Sahabudin Abd Manan berkata, unjuran siling projek yang berdasarkan kepada kajian harga pasaran serta kesesuai bagi penugasan taktikal dan pemantauan PDRM bernilai RM48 juta

“Dron yang akan diperolehi adalah jenis Electric Drone (Menggunakan Kuasa Bateri) berkuasa tinggi dan akan dilengkapi dengan Gyro Stabilized Camera (Electro Optical dan Infra Red) yang boleh membuat penerbangan dan rakaman visual resolusi tinggi (Foto, Video Dan Live Streaming) pada waktu siang serta malam,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, bagi setiap unit dron dilengkapi dengan Turret Tracking Antenna System, Weather Station dan Portable Global Navigation Satellite System.

Menurut Sahabudin, kesemua dron berkenaan akan digunakan bagi penugasan pemantauan serta membanteras ancaman di kawasan sempadan negara dalam usaha menangani pencerobohan, penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

“PDRM menghargai komitmen kerajaan dalam memastikan pasukan memiliki aset dan kelengkapan terkini bagi memantapkan lagi penugasan agar keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.-MalaysiaGazette