Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. foto SYAFIQ AMBAK, 13 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Sebanyak 34 lokaliti baharu lagi akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari di lima negeri melibatkan Sabah, Kelantan, Johor, Sarawak dan Pahang, berkuatkuasa 29 Julai hingga 11 Ogos ini.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan itu dibuat beliau ketika mempengerusikan sidang teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) buat kali pertama, hari ini.

“Antara 11 lokaliti di Kota Kinabalu, Sabah ialah Bandar Sierra, Kampung Unggun, Kampung Kalasanan, Lorong Cina 1, 2 & 3, Kampung Tebobon, Plaza Kingfisher, Polytechnic Commercial Centre, Kampung Pulau Penampang, Bandaran Segama, Taman Bukit Setiadan Taman Putera Jaya.

“Lapan lokaliti di Penampang, Sabah pula membabitkan Country Height Fasa 1, Cyber City Fasa 1, Kampung Nabangkung, Kampung Ramayah, Taman Vista Kiranau, Kampung Sarapung Kolopis, Vista Minitod dan Kampung Tuunon.

“Sebanyak empat lokaliti di Beaufort, Sabah turut dikenakan PKPD, iaitu Kampung Lumadan, Kampung Kebulu Petani, Kampung Beaufort Selatan dan Taman Arjuna; manakala tiga lokaliti pula di Tawau iaitu Kampung Blok 31, Kampung Tanjung Batu Darat dan Kampung Darat Inderasabah serta Perumahan Ladang Tinabau, Kinabatangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain Sabah, beberapa lokaliti di Kuching, Sarawak juga dikenakan PKPD mulai Khamis, membabitkan Kampung Jawa Batu 12, Kampung Bumbok dan Kampung Telaga Air.

Turut dikenakan PKPD bagi tempoh sama ialah Ladang Kerilla, Tanah Merah, Kelantan; Asrama Pekerja Tapak Bina Taman Bukit Perdana, Kluang dan Kampung Pertanian & Kampung Separa, Mukim Senai, Kulai, Johor serta FELDA Jengka 7, Maran, Pahang.

Sementara itu, sebanyak lima lokaliti pula akan ditamatkan PKPD setelah 14 hari menjalani arahan itu, berkuatkuasa 28 Julai ini.

“Antaranya ialah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lintas Sibuga, Sandakan, Sabah; Kampung Telaga & Kampung Pituru, Pitas, Sabah; FELDA Jengka 8, Jerantut, Pahang; Kampung Jagoi Duyoh, Bau, Kuching, Sarawak serta Taman Samudera, Mukim Batu, Gombak, Selangor,” katanya. – MalaysiaGazette