Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menghentikan amalan dua darjat yang melibatkan SOP, kompaun dan layanan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau malu dengan apa yang berlaku ketika ini apabila wujud SOP VIP, kayangan dan marhaen.

“Perkara ini mesti dielakkan. Jangan ada dua darjat,” katanya pada sesi pertanyaan penerangan Menteri Kesihatan di Parlimen hari ini.

Selain itu, Ahmad meminta Kementerian Kesihatan (KKM) memohon peruntukan yang lebih banyak daripada Kementerian Kewangan bagi menangani pandemik Covid-19.

Menurut beliau, setakat ini peruntukan yang diberi untuk melawan Covid-19 berjumlah RM7.13 bilion belum mencukupi.

Beliau juga mencadangkan barisan hadapan kesihatan, polis, tentera, anggota Rela, APMM dan Imigresen diberi elaun khas tambahan dengan jumlah sewajarnya.

“Begitu juga cadangan pemberian elaun khas kepada sukarelawan dan bukan sukarelawan yang membantu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV),” katanya. – MalaysiaGazette