Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Pihak pembangkang hari ini menggesa agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan diheret ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil (PKR) berkata, kenyataan Ahli Parlimen Kota Bharu (Pas) itu dilihat telah mengelirukan Dewan Rakyat.

“Perlu penjelasan segera atau pun Kota Bharu perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana telah mengelirukan Dewan Rakyat.

“Bagi seorang pemegang portfolio yang menjaga undang-undang dan Parlimen adalah tidak patut.

“Saya pohon panggil Ahli Parlimen Kota Bharu masuk ke Dewan Rakyat dan beri penjelasan kepada semua kerana kesannya ke seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam Sidang Khas Parlimen hari ini.

Jelas Fahmi, ia dibuktikan lagi dengan Warta Kerajaan tidak memaparkan sebarang pembatalan mengenai ordinan darurat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Semalam Kota Bharu (Takiyuddin) telah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dewan ini malah seluruh rakyat Malaysia apabila menyatakan bahawa ordinan darurat telah dibatalkan pada 21 Julai.

“Bila rakan peguam semak warta negara, tidak ada sebarang pemakluman yang telah dikeluarkan umumkan sejumlah ordinan telah dibatalkan,” katanya lagi.

Turut bangun Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berkata, sekiranya ordinan darurat telah dibatalkan, mengapa ia tidak dibawa ke pengetahuan Dewan Rakyat ketika sesi pembukaan semalam.

“Kalau betul semalam sudah dibatalkan kenapa tidak diumumkan ada perkenan Yang di-Pertuan Agong. Apa yang berlaku adalah ada ketidakpastian kepada semua orang, masalahnya kita telah meletakkan nama Institusi Diraja sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Semalam, kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.

Takiyuddin dalam hari pertama sidang khas Parlimen berkata kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan. – MalaysiaGazette