Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail bersama Pengarah Klinik Primer Cherang Dr. Safwan Saifudin merupakan rakan penasihat perubatan untuk Pusat Pemberian Vaksinasi Integrasi (PPVI).

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjadi ibu pejabat lebuh raya pertama diaktifkan sebagai Pusat Pemberian Vaksinasi Integrasi (PPVI) untuk memberi vaksin kepada 2,000 individu sehari.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, lokasi ini dipilih oleh Pasukan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sebagai antara 14 lokasi imunisasi awam bagi mempercepatkan pemberian vaksin melalui Kapasiti Lonjakan Operasi.

Tindakan itu bagi memastikan semua individu dewasa akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos ini sekaligus membantu melandaikan lengkuk jankitan penularan Covid-19.

Sehingga semalam, PICK melaporkan lebih 16 juta dos terdiri daripada dos pertama dan kedua berjaya diberikan dengan kira-kira 11.5 juta penduduk menerima dos pertama mereka serta lebih daripada 5.4 juta lengkap menerima dua dos.

Berdasarkan data tersebut, PLUS berbangga dapat memainkan peranan bagi membantu mempercepatkan kadar pemberian imunisasi di negara ini.

”Lebih cepat kita dapat mencapai sasaran untuk membolehkan kita memasuki empat fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), lebih cepat ekonomi dapat diperbaiki dan perniagaan boleh pulih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, inisiatif ini menjadi realiti hasil kerjasama rakan penasihat perubatannya, Primer Cherang bersama Protech Health, pelaksana pengamal perubatan swasta dan penyertaan agensi penjagaan kesihatan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Tambahnya, penyertaan PLUS dalam program imunisasi ini juga dapat memastikan kelestarian syarikat dan negara serta memberi peluang kepada kakitangannya untuk berkongsi peristiwa bermakna dan bersejarah.

“Warga PLUS turut menyertai pasukan sukarelawan yang terdiri daripada 150 petugas kesihatan daripada Primer Cherang dan Protect Health.

Dalam misi untuk membantu lebih ramai individu di Malaysia untuk menerima vaksin, ia juga adalah antara usaha untuk memelihara dan melindungi daripada dijangkiti Covid-19,” ujarnya. – MalaysiaGazette