KUALA LUMPUR – Timbul tanda tanya tindakan kerajaan yang mengumumkan Proklamasi Darurat tidak akan disambung, sebaliknya telah tamat pada 21 Julai lalu tanpa diumumkan kepada rakyat.
Justeru, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali yang mengikuti perkembangan secara rapat persidangan khas Parlimen bermula semalam menyatakan kecewa dengan tindakan itu.
Beliau menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang tidak bertanggungjawab dan lepas tangan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk mengumumkannya semalam.
“Parti Putra bersama seluruh rakyat Malaysia terkejut dengan pengumuman Menteri Undang-undang di Dewan Rakyat semalam kononnya Kabinet telah memutuskan untuk menamatkan atau tidak melanjutkan darurat selepas 1 Ogos ini.
“Pengumuman Takiyuddin itu telah mencetuskan kontroversi undang-undang dan krisis Perlembagaan kerana cara keputusan dibuat telah menimbulkan pelbagai masalah dan persoalan.
“Jika benar Kabinet membuat keputusan pada 21 Julai, kenapa tidak segera mengeluarkan kenyataan rasmi pada hari itu dan menyatakan ianya mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong?,” soal beliau menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau juga mempersoalkan kenapa tidak dikeluarkan kenyataan atas nama Perdana Menteri sebagaimana SOP sepatutnya tetapi dibuat oleh Menteri yang bertanggungjawab pada undang-undang di Dewan Rakyat secara mengejut.
“Cara ini tidak betul. Sebelum dan selepas 21 Julai, dalam menanti tarikh semalam untuk Parlimen bersidang, riuh rendah mendesak agar Rang Undang-undang Darurat mesti dibentang, dibahas dan diundi untuk mendapat persetujuan Dewan Rakyat.
“Kalau benar keputusan Kabinet diwartakan pada 21 Julai 2021, tidaklah sampai Datuk Seri Anwar Ibrahim; Tun Mahathir Mohamad; Tengku Razaleigh Hamzah dan lain-lain ahli Dewan Rakyat serta pelbagai desakan NGO serta pemimpin masyarakat, tidak nampak dipermainkan dan diperbodohkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk Muhyiddin.
“Ini permainan sandiwara politik dalam keadaan rakyat dan negara berada seperti telur di hujung tanduk kerana pandemik Covid-19 tidak boleh diterima dan dimaafkan sama sekali,” tegas beliau.
Katanya, untuk Parlimen bersidang pun rakyat dan ahli Parlimen desak bertubi-tubi sehingga Yang di-Pertuan Agong sendiri terpaksa bertitah.
“Apakah semua permainan ini? Hanya untuk kekalkan kuasa atas harga yang terpaksa dibayar dengan meremehkan serta memijak Keluhuran Undang-Undang dan Perlembagaan?
“Ini seperti menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu apabila dibuat dengan cara tidak betul.
“Sungguh memalukan juga apabila Kabinet dari UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang turut sama membuat keputusan tidak memaklumkan kepada Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.
Beliau menjelaskan, Ahmad Zahid pada 25 Julai lalu mengeluarkan kenyataan ahli Kabinet dan yang memegang jawatan dalam GLC mesti keluar dari kerajaan jika darurat diteruskan selepas 1 Ogos ini.
Sedangkan, Ahli Parlimen UMNO dan BN yang ada dalam Kabinet sudah tahu pada 21 Julai lagi Ordinan Darurat telah ditamatkan.
“Timbalan Perdana Menteri pun sampai hati tidak berbisik kepada presidennya. Ini betul-betul lucu dan mempersendakan presiden parti sendiri,” katanya.
Ibrahim tidak menolak kemelut dan krisis akan berterusan serta tidak akan ada penyelesaian, malah bertambah kusut.
Menurutnya, tidak ada lagi cara terbaik demi kemaslahatan rakyat dan negara iaitu Muhyiddin mesti mengundur diri secara terhormat.
“Setiap yang bermula pasti ada penghujungnya bila tiba waktu. Yang hidup pasti akan mati bila ajalnya tiba. Apatah lagi dalam dunia politik demokrasi. Penjawat awam juga kena bersara bila tiba umur pencen.
“Putra yakin Muhyiddin meletakkan kepentingan rakyat dan negara lebih dari segala-galanya dan sebagai tokoh yang beriman, berilmu dan matang, beliau harus mendahului kepentingan negara dan rakyat.
“Ikutlah langkah Tun Abdullah Ahmad Badawi yang jelas mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat tetapi melepaskan jawatan kerana BN kalah pada PRU-12 tapi masih mendapat sokongan walaupun hilang dua pertiga majoriti,” ujarnya.
Namun, suasana sekarang jauh lebih serius apabila sokongan di Dewan Rakyat menjadi tanda tanya, ancaman Covid-19 terus menggila tanpa reda, ekonomi negara merundum, rakyat terus menderita dan ramai bunuh diri.
Ia, kata Ibrahim, lebih serius dari tragedi 13 Mei 1969, yang mana rakyat dalam ketakutan dan masa depan negara dalam keadaan cemas.
“Lagi pun kerajaan PN bukanlah kerajaan yang mendapat mandat rakyat pada PRU-14. Ini hakikatnya, kenalah telan walaupun pahit. Ianya kerajaan kudeta politik.
“Berundurlah Muhyiddin secara terhormat sebelum terlambat. Putra tegaskan ini bukan hal peribadi, tapi kepentingan rakyat dan negara wajib diutamakan.
“Inilah masa dan saat keputusan bijak seorang yang mahu diingati dalam lipatan sejarah sebagai salah seorang negarawan negara,” kata beliau. – MalaysiaGazette