Senator Datuk Razali Idris.

KUALA LUMPUR – Kejahilan berhujah dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang dalam Dewan Rakyat semalam disifatkan seperti golongan yang ada ‘penyakit mental.’

Tingkah laku ahli Parlimen pembangkang yang langsung tidak menghormati Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta Perdana Menteri serta mencemuh Menteri Kewangan pada sesi penggulungan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah perbuatan yang sungguh biadab.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Bersatu, Senator Datuk Razali Idris berkata, semua ahli Parlimen perlu menghormati hasrat murni Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar mesyuarat khas Parlimen dijayakan dalam keadaan lancar.

“Tujuan mesyuarat khas Parlimen ini adalah sebagai satu proses semak dan imbang untuk melihat negara terus ditadbir dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Razali, jangan dicemarkan kesucian Dewan Rakyat dengan polemik serta retorik yang telah ditunjukkan oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang semalam.

“Sikap ahli Parlimen pembangkang Dewan Rakyat tidak langsung menunjukkan sebagai seorang penggubal undang-undang malahan tidak langsung menghormati Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, sekaligus mencemarkan nama baik institusi Parlimen Malaysia.

“Rakyat Malaysia sangat hairan akan sikap “penyakit mental” ahli Parlimen pembangkang yang diterjemahkan di dalam Dewan Rakyat semalam kerana rakyat Malaysia amat mengharapkan penerangan, perbincangan, perbahasan dan pertanyaan yang bernas dan berilmiah dapat dicapai dengan solusi terbaik bagi membantu rakyat dan ekonomi negara,” katanya lagi.

Menurutnya, jangan dimomokkan dengan sikap jelik dan membuang masa sepanjang mesyuarat khas Parlimen ini kerana pengundi dan rakyat memerhatikan wakil rakyat yang berwibawa untuk pilihan raya umum yang akan datang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast