Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) didakwa tersilap langkah apabila memansuhkan Ordinan Darurat lebih awal kerana tindakan itu merupakan satu bentuk pengakuan darurat sudah gagal memerangi Covid-19.

Ia juga membuktikan ia tidak perlu dilaksanakan sejak awal lagi.

Datuk Seri Najib Razak berkata, pemansuhan itu hanya merosakkan keyakinan pelabur sekali gus tidak memberi sebarang menfaat kepada negara.

Malah, bekas perdana menteri itu berkata, pemansuhan lebih awal itu mengesahkan bahawa darurat yang diumumkan sebelum ini cuma permainan politik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan menyifatkan memansuhkannya Ordinan Darurat secara senyap dan backdated merupakan satu pengakuan kerajaan hari ini sudah hilang majoriti dan telah gagal membeli lebih banyak katak.

Maka, katanya, ‘katak’ yang pernah lompat masuk untuk selamatkan diri akan mula berfikir untuk lompat keluar sebelum kerajaan tenggelam dan mereka dijadikan sasaran pihak lawan.

Lagipun, tiada siapa pernah kata ‘katak’ yang lompat sekali tidak akan ‘lompat’ kali kedua, ujar Najib. – MalaysiaGazette