KUALA LUMPUR – UMNO menyokong penuh usaha meningkatkan vaksinasi oleh kerajaan kerana itu yang dituntut pihaknya selama ini.
Namun, kata presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, vaksinasi di Malaysia sepatutnya sudah lama mencapai imuniti kelompok.
Pencapaian itu, kata beliau, sepatutnya selepas hari pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula pada 24 Februari lalu iaitu dengan hanya mengambil kira 158,000 orang diberi suntikan sehari sejak 151 hari yang lalu.
“Tapi, apakan daya sehingga hari ini cuma kira-kira lima juta telah lengkap dua dos suntikan manakala mereka yang baru menerima satu dos suntikan sekitar 11 juta orang.
“Bagaimanapun, kita sedikit lega dimaklumkan kini lebih 400,000 dos suntikan diberi sehari iaitu selepas lebih 8,200 nyawa rakyat yang tidak bersalah terkorban akibat Covid-19.
“Dan, petugas kesihatan kini kian terbeban untuk mencapai suntikan yang tinggi setiap sehari,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, UMNO faham kerajaan mahu rakyat gembira dengan angka suntikan harian vaksin yang tinggi ketika ini.
Tetapi, kata beliau, dalam masa sama, UMNO kurang gembira dengan kes jangkitan yang pernah mencecah lebih 17,000 kes sehari.
Jelas beliau, keseluruhan kes jangkitan Covid-19 direkodkan di Malaysia sejak tahun lalu sudah melebih satu juta.
“Entah mengapa kadar jangkitan meningkat seiring dengan peningkatan kadar vaksinasi. Ini bermaksud sementara menunggu ketibaan herd immunity masih ada nyawa berisiko terkorban.
“Sepatutnya kita mengamalkan pendekatan serampang dua mata bagi melindungi rakyat iaitu kadar vaksinasi dipertingkat dan dalam masa sama usaha kurangkan kadar jangkitan diperhebat,” katanya. – MalaysiaGazette
Lepas ini kerajaan sudah tidak perlu buat kiraan apabila 80% sudah divaksinasi, kerajaan hanya perlu istihar covid19 adalah epidemik seperti selsema SARS, atau demam flu biasa.