KUALA LUMPUR – Polis merampas 4,410 karton rokok tidak bercukai dengan anggaran RM398,500 dalam dua serbuan berasingan di Subang Jaya dekat sini semalam.
Rampasan itu dilakukan pasukan Batalion Keempat Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dalam Operasi Kontraban selepas menahan lima lelaki di Jalan USJ dan Jalan Perindustrian, Subang Jaya pukul 1 petang dan 4 petang.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, hasil siasatan awal, kelima-lima lelaki warganegara tempatan berusia 18 hingga 24 tahun itu merupakan pengedar rokok tanpa cukai.
“Keseluruhan rampasan melibatkan 4,410 karton rokok tidak bercukai yang berjumlah RM398,500 dan turut dirampas sebuah kenderaan.
“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM1,079,150.
“Tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Rizal, tangkapan dan rampasan ini berjaya dilakukan ke atas salah satu sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar Subang Jaya.
“PGA menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat kepada PDRM berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette