KUALA LUMPUR – Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) digesa supaya melakukan siasatan terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung dakwaan beliau mengumpul dana melalui sebuah NGO bernama Persatuan Perniagaan Ekonomi Merdeka.
Ketua Armada Bersatu Kubang Pasu, Noor Firdaus Hashim berkata, sehingga hari ini, Syed Saddiq belum menjawab tuduhan ada dana parti yang diseleweng masuk ke akaun peribadinya pada tahun lepas.
“Sekarang pula Syed Saddiq giat mengumpul wang daripada rakyat atas pelbagai alasan. Beliau perlu menjelaskan adakah jutaan ringgit yang dia kumpul itu adalah dana politik dan apa kawalan yang ada atas perbelanjaan dana itu.
“Saya minta RoS segera menyiasat adakah NGO ini dibenarkan mengumpul dana untuk tujuan politik.
“Tambahan lagi, adakah NGO ini boleh mengutip dana untuk membayar yuran guaman dan ikatjamin orang kena tuduh di mahkamah?” soalnya menerusi kenyataan hari ini.
Noor Firdaus menegaskan, Syed Saddiq sendiri perlu jujur apabila bercakap mengenai cukai dan dana.
Katanya, ketika di Parlimen semalam, bekas Ketua Pemuda Armada itu menuntut supaya kerajaan memperkenalkan windfall tax atau cukai durian runtuh kepada beberapa syarikat.
“Saya minta juga LHDN menyiasat adakah wang yang dikumpul oleh Syed Saddiq tertakluk kepada cukai.
“Apa klasifikasi sebenar wang yang dikutip olehnya untuk membayar perbelanjaan peribadi dia di mahkamah?” soalnya. – MalaysiaGazette