Sektor Pemajuan Perumahan dibenarkan beroperasi di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa serta-merta.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sektor Pemajuan Perumahan dibenarkan beroperasi di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa serta-merta.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, keputusan tersebut dicapai semasa Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik pada 23 Julai lalu.

“Kebenaran beroperasi itu adalah terpakai kepada pemaju perumahan yang masih aktif dan sah Lesen Pemajuan Perumahan dan Permit Iklan dan Jualan (APDL) di bawah Akta 118.

“Di bawah Fasa 1 PPN, aktiviti yang dibenarkan beroperasi ialah pejabat pengurusan pemaju perumahan; urusan serahan notis milikan kosong dan kunci rumah serta kerja-kerja baik pulih kerosakan kritikal dalam tempoh liabiliti kecacatan.

“Turut dibenarkan kerja-kerja pembinaan Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi kontraktor G1 hingga G4,” kata KPKT dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut KPKT, di bawah Fasa 2 PPN pula, aktiviti tambahan yang dibenarkan ialah pemasaran dan jualan di pejabat pemaju, agen jualan, galeri jualan, unit pameran dan unit sub-jualan hartanah.

“Kebenaran beroperasi sektor pemaju perumahan adalah tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terkini Sektor Pemajuan Perumahan yang boleh dimuat turun di laman sesawang KPKT di https://www.kpkt.gov.my.

“Bagi SOP pembinaan pula, ia dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) di www.cidb.gov.my dan SOP Am Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia di www.mkn.gov.my bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya lagi. – MalaysiaGazette