Tangkap layar menunjukkan ratusan warga asing mendirikan solat sunat Aidiladha di Taman Pelangi, Juru pada 20 Julai lalu.

GEORGE TOWN – Polis sedang menunggu arahan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk mengambil tindakan selanjutnya berhubung insiden sekumpulan lelaki melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan mendirikan solat sunat Aidiladha di kawasan pangsapuri Taman Pelangi, Juru pada 20 Julai lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kertas siasatan berhubung kejadian itu sudah diserahkan kepada DPP dan pihaknya kini menunggu arahan selanjutnya.

Mohd Shuhaily.

“Setakat ini, seramai 84 individu yang terdiri daripada 83 warga asing dan seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kesemua individu yang terlibat sudah dibebaskan dengan jaminan dan kita masih menunggu arahan lanjut daripada pihak DPP,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Mengulas mengenai suspek terlibat dalam kes tersebut dibawa tanpa memakai kasut dalam keadaan bergari, Mohd Shuhaily menegaskan, ia adalah peraturan biasa.

”Tuan-tuan, puan-puan pernah ke mahkamah banyak kali dan ia adalah peraturan biasa,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN :

Polis cari 200 warga asing langgar SOP solat sunat Aidiladha

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan seramai 84 individu ditahan setakat 22 Julai lalu bagi membantu siasatan kes langgar prosedur operasi standard (SOP) mendirikan solat sunat Aidiladha di kawasan pangsapuri Taman Pelangi, Juru.

Difahamkan, jumlah itu terdiri daripada tangkapan hari pertama seramai 49 orang manakala terbaru seramai 35 individu.

Pada 20 Julai lalu, tular satu rakaman video berdurasi 22 saat yang memaparkan ratusan individu yang dipercayai warga asing sedang menunaikan solat sunat Aidiladha pada jam 8.30 pagi di kawasan lapang berdekatan pangsapuri di Taman Pelangi, Juru. – MalaysiaGazette