Ashraf Rosli

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menyelesaikan segera isu doktor kontrak dengan mengumumkan secara rasmi persetujuannya untuk menyerapkan golongan profesional itu ke jawatan tetap.

Ketua Penerangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Ashraf Rosli berkata, bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas.

Katanya, dalam keadaan pandemik Covid-19 ini, kerajaan harus mengambil prinsip memandang ke hadapan menyelesaikan kemelut doktor kontrak agar tidak berpanjangan.

Ini kerana, jelas beliau, parti Putra tidak mahu rakyat menjadi mangsa dan negara berdepan dengan kerugian dari segi kepakaran sumber manusia.

“Kerajaan boleh mengimpot atau membawa masuk pakar luar dengan kos yang besar, tetapi untuk melayan permintaan doktor kontrak yang merupakan rakyat sendiri, riuh rendah.

“Dalam kita mentadbir, jangan kita buatkan rakyat sendiri seperti kera di hutan disusukan, anak sendiri kelaparan.

“Janganlah apabila hilang kuasa nanti, baharu hendak bercakap hal penderitaan Melayu dan rakyat sebagaimana Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mempertahankan Hartal Doktor Kontrak di Parlimen semalam,” katanya kepada media, semalam.

Beliau berkata, kedua-dua parti itu ketika berkuasa sebelum ini, tidak pula menampakkan kesungguhan membela nasib doktor kontrak, yang mana isu itu timbul sejak 2016 lagi.

Namun, selepas PH mengambil alih pada 2018, tuntutan doktor kontrak tidak dilayan, malah kerajaan pada masa itu dengan tegas menolak daripada menyerapkan ke jawatan tetap.

“Hanya selepas tidak lagi menjadi kerajaan, mereka nampak bersungguh hendak membela golongan profesional itu. Pada Putra, semua pihak bertanggungjawab dan sepatutnya mengambil sikap proaktif serta bersama bertanggungjawab dalam hal itu.

“Isu ini sudah lama timbul dan menjadi barah yang semakin memudaratkan kesejahteraan rakyat serta negara, lebih lagi isu kesihatan dan keselamatan rakyat di kala Covid-19 yang semakin meruncing.

“Akhirnya ia menjadi bahan isu politik untuk parti mencari political mileage, bukan semua fokus mencari penyelesaian demi kebaikan doktor kontrak dan rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan, apa yang berlaku hari ini, masing-masing asyik menuding jari menyalahkan antara satu sama lain selepas tidak lagi berkuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast