KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) menegaskan, penggunaan mana-mana jenis rawatan untuk Covid-19 mesti berdasarkan data dan sains.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, data dan sains itu mesti yang diperolehi melalui ujian klinikal yang dijalankan dalam prinsip “evidence-base medicibe”.
Ini, kata beliau, termasuk kelulusan penggunaan Ivermectin untuk rawatan Covid-19 yang harus berdasarkan data yang dikumpul melalui “randomised clinical trials” yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) dan juga di seluruh dunia.
Namun, katanya, kajian sistematik lebih baru diterbitkan semalam oleh Cochrane Collaboration yang menganalisis semua data yang ada sehingga 26 Mei lalu.
“Data itu telah menyimpulkan secara keseluruhannya, bukti kukuh yang sedia ada tidak menyokong penggunaan Ivermectin untuk rawatan dan pencegahan Covid-19, melainkan dalam konteks suatu kajian yang rapi dan teratur,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kata Dr. Dzulkefly, tinjauan sistematik yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan British yang menganalisis semua data sehingga 1 Mac lalu mendapati bukti untuk faedah Ivermectin adalah “kepastian yang sangat rendah” kerana kekurangan metodologi dan ukuran kecil kajian yang terlibat.
Oleh itu, jelas beliau, kelulusan mana-mana rawatan Covid-19 termasuk Ivermectin haruslah melalui proses ujian klinikal yang spesifik dan sebarang keputusan harus berdasarkan data dan Sains yang ada serta mengambil kira kesan sampingan terhadap pengguna.
“Kita harus meneliti data-data yang keluar termasuk hasil ujian klinikal oleh KKM yang dijangka siap pada September ini.
“Kami menggesa rakyat Malaysia untuk meyakini vaksin Covid-19 telah menunjukkan kesannya mengurangkan kadar jangkitan dan kematian seperti yang berlaku di Wilayah Persekutuan Labuan baru-baru ini,” katanya. – MalaysiaGazette