Nur Jazlan Mohamed

JOHOR BHARU – Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menggesa menteri dari parti itu yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini segera memohon maaf kepada ahli parti dan rakyat.

Jelas beliau, permohonan maaf secara terbuka itu susulan kerajaan PN ‘kantoi’ menipu dalam Dewan Rakyat dan menderhaka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong dalam isu pembatalan Ordinan Darurat, Isnin lalu.

Katanya, menteri UMNO termasuk Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menyokong kerajaan PN dikira bersubahat menipu rakyat dan menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Ini kerana mereka tidak menafikan, sebaliknya berdiam diri apabila Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan kerajaan sudah membatalkan Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu.

“Mereka ini sudah mengangkat sumpah memegang amanah dan menjunjung Perlembagaan ketika dilantik menjadi menteri serta Ahli Parlimen, tetapi sanggup mengkhianatinya demi kuasa.

“Oleh itu, mereka perlu minta maaf secara terbuka kepada ahli UMNO dan rakyat serta insaf dengan keterlanjuran itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen, sedangkan perkara itu belum mendapat perkenan baginda.

Istana Negara dalam kenyataan di laman Facebook rasminya berkata, Seri Paduka Baginda menegaskan kenyataan Takiyuddin di Parlimen pada 26 Julai lalu tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli Dewan Rakyat.

Kata Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai, menteri dan Ahli Parlimen UMNO juga perlu menarik balik serta merta sokongannya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti mana diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini.

Kata beliau, jelas kepimpinan Muhyiddin mencurangi amanah yang diberikan rakyat dan mempermainkan Perlembagaan serta kemuliaan Dewan Rakyat akibat tamak kuasa.

“Menteri UMNO perlu ikut keputusan MKT dan tarik segera sokongan terhadap Perdana Menteri dan kerajaan PN. Mereka sepatutnya malu dan tebal muka kerana terus memberikan sokongan kepada sebuah kerajaan yang tidak telus dan tidak amanah.

“Tidak pernah dalam sejarah UMNO menderhaka kepada Raja-raja Melayu terutamanya Yang di-Pertuan Agong dan menyeleweng Perlembagaan serta Parlimen untuk kekalkan kuasa,” katanya.

Kata beliau, apa yang dilakukan oleh menteri UMNO itu turut memberikan implikasi negatif kepada parti itu sendiri.

Katanya, biarpun secara majoriti MKT UMNO sudah menarik sokongan kepada Perdana Menteri, namun kedegilan menteri dan segelintir Ahli Parlimen yang mahu terus bersama kerajaan PN turut mencemarkan nama baik parti.

“Sudah-sudahlah nak jadi degil dan nak ikut nafsu sendiri. Kembalilah ke pangkuan perjuangan asal dan bersama semula dengan kepimpinan UMNO.

“Tinggalkan Muhyiddin, Pas dan kerajaan PN yang sudah terbukti gagal, menyeleweng kuasa dan menderhaka kepada institusi raja,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast