KUALA LUMPUR – Sebanyak 17 lokaliti melibatkan Sabah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermulai 31 Julai ini.
Menurut Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, lokaliti atau kawasan itu ialah Kampung Lembah Permai dan Kampung Pugi Gunsapou di Ranau, Sabah.
Ini, katanya, diikuti Kampung Bayangan dan Kampung Purakagis di Keningau Sabah; Kampung Marintaman, Sipitang; Kampung Gambaron 2 dan Kampung Tembidong-Bidong di Telupid dan Kampung Airport Lama di Tawau, Sabah.
Kata beliau, Kelantan melibatkan Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang dan Kampung Wek Batu 23, di Labok, Machang.
Kawasan yang turut terlibat dengan PKPD selama dua minggu sehingga 13 Ogos ini ialah Kg. Padang Kubu, Mukim Tebak di Kemaman, Terengganu; Apartment Amber Court dan Tapak Bina Grand Ion Delemon, Genting Highlands, Pagang dan Felda Sungai Koyan 3, Mukim Ulu Jelai, Lipis.
“Empat lokaliti dalam daerah Perak Tengah ialah Kampung Biak Hilir Mukim Bandar, Kampung Biak Darat, Kampung. Biak Baroh dan sebahagian Kampung Pasir Salak di Mukim Pasir Salak, manakala di Kedah ialah Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, Baling,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Hishammuddin berkata, semua kawasan itu dikenakan PKPD setelah kerajaan meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19.
SOP bagi semua kawasan PKPD itu adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini menerusi laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di www.mkn.gov.my.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan tiga lokaliti disambung tempoh PKPD bermula 31 Julai hingga 13 Ogos ini.
Lokaliti itu ialah Perumahan Sabah Forest Industry (SFI), Sipitang, Sabah; Taman Jaya Diri, Kota Kinabalu dan Kampung Seratau, Bahagian Kuching, Sarawak.
Sebanyak 10 kawasan PKPD akan ditamatkan mulai esok, iaitu kilang Latexx Manufacturing Sdn. Bhd. dan asrama pekerja kilang Latexx di Taiping, Perak; Apartment Tropicana, Bukit Merah; Kampung Tersusun Pondok Tanjung dan Kampung Binjai di Kerian, Perak.
Turut ditamatkan ialah Taman Mewah, Kelemak, Alor Gajah, Melaka; Kampung Perpaduan Gumpa, Kudat; Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor; Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan, Tamau serta Kampung Astana dan Kampung Sungai Bedil di Kuching, Sarawak. – MalaysiaGazette