Noor Hariri Mohamed Noor

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Kelantan mendesak Ahli Parlimen dari parti itu menarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Tindakan itu bagi menunjukkan UMNO tidak boleh berkompromi dengan sikap biadab kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap Institusi Diraja, terutama pembohongan hal berkaitan Ordinan Darurat.

Ketua Pemudanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, apa yang berlaku hari ini, UMNO sentiasa menjunjung prinsip Kedaulatan Undang-Undang dan Raja Berperlembagaan bagi kestabilan politik dalam negara demi kesejahteraan rakyat.

“Akhirnya kebenaran muncul apabila Yang di-Pertuan Agong bertitah, baginda belum lagi memperkenankan pembatalan Ordinan Darurat seperti dinyatakan Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang Parlimen 26 Julai lalu.

“Perdana Menteri pula sengaja mempermainkan titah baginda apabila ingkar tidak mahu Ordinan Darurat ini dibahaskan dan dibatalkan dalam Parlimen, malah mengheret tuanku ke kancah mainan politik kotor mereka,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, Pemuda UMNO Kelantan bersetuju dengan pandangan Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi bahawa Muhyiddin perlu meletakkan jawatan secara terhormat kerana jelas derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong dengan sengaja.

Sementara itu, Exco Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Faiz Hashim berkata, apa yang berlaku dalam Dewan Rakyat hari ini cukup mendukacitakan.

Muhammad Faiz Hashim

Katanya, tidak pernah berlaku dalam sejarah negara apabila Dewan Parlimen yang mulia dipermain dan dikelirukan sehingga mencemar nama baik Institusi Raja.

“Pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat sebelum perkenan baginda amat mencabar dan membelakangkan kuasa Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.

“Ternyata perbuatan itu adalah satu bentuk penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong, selain penipuan serta kekeliruan yang dibuat dalam dewan yang mulia.

“Maka, Perdana Menteri perlu mengambil rasa tangungjawab ini dengan meletakkan jawatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast